Honor kini mengesahkan bahawa peranti skrin boleh lipat baharunya bakal tiba pada 12 Julai akan datang. Bakal dikenali sebagai Honor Magic V2, tidak dapat dipastikan sama ada tarikh tersebut hanya terhad pelancaran di China semata, atau ada kebarangkalian juga berlangsung secara global. Dalam pada itu Honor juga dilihat masih berteka-teki mengenai perkakasan dalaman peranti.

Namun desas-desus awal yang kedengaran peranti mungkin dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, pilihan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman maksimum 512GB. Sebagai pilihan Honor juga dijangka menyediakan variasi dengan cip terkini Snapdragon 8 Gen 2 pada peranti kelak.
Seterusnya saiz paparan juga masih samar-samar, tetapi panel AMOLED LTPO 2K yang menyokong kadar segar semula dan teknologi dimming berfrekuensi tinggi mungkin digunakan. Kesemua ini bagaimanapun hanyalah jangkaan awal semata, yang mana sebenarnya kita boleh mengharapkan lebih banyak ciri menarik lain disediakan misalnya seperti kalis air atau pengecasan nirwayar.
- Info
- Sumber – WEIBO

