Perayaan Hantu Lapar diisytihar sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang

3 Sep 2026 • 2:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perayaan Hantu Lapar diisytihar sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mengisytiharkan perayaan Teong Guan Phor Thor atau lebih dikenali sebagai Perayaan Hantu Lapar sebagai warisan negeri berkuat kuasa 25 Jun lalu dalam usaha memelihara tradisi dan kepelbagaian budaya masyarakat di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan itu dibuat selepas pencalonan perayaan berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri pada 8 April lalu sebelum melalui proses saringan dan penelitian pakar.

”Pengiktirafan ini bukan sekadar untuk memelihara dan memulihara satu amalan tradisi tetapi turut mengangkat kepelbagaian perayaan masyarakat majmuk sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang. Di Pulau Pinang, sekurang-kurangnya ada lebih 200 kumpulan di merata tempat yang menganjurkan sambutan ini pada bulan ketujuh,” katanya selepas pewartaan warisan negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pulau Pinang turut mewartakan warisan kebudayaan tidak ketara serta elemen unik seperti budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, Perayaan St. Anne Bukit Mertajam dan Loghat Bahasa Tanjong Pulau Pinang yang diwartakan pada 22 Jan lepas disusuli seni mempertahankan diri Nillaikalakki Silambam pada 7 Mei.

Kon Yeow berkata, penganjuran perayaan berkenaan digerakkan bersama komuniti tempatan dan peniaga di bawah penyelarasan ketua kawasan atau jawatankuasa berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut meluluskan penetapan enam tapak sebagai Tapak Warisan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 pada 8 April lalu.

”Enam tapak berkenaan ialah Stesen Atas dan Stesen Bawah serta Landasan Funicular Bukit Bendera, Makam Dato’ Koyah, Tokong Thai Pak Koong, Bangunan Persatuan Fooi Chew, Tokong Loo Pun Hong; serta Tanah Perkuburan Kwangtung dan Tengchow No. 1,” katanya.

Kon Yeow berkata, proses pewartaan rasmi bagi keenam-enam tapak berkenaan kini sedang diuruskan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.

Beliau berkata, perayaan hantu lapar bersama enam tapak berkenaan akan diisytiharkan dan ditetapkan secara rasmi dalam Majlis Perisytiharan Warisan Negeri dan Penetapan Tapak Warisan pada 10 Oktober ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, tujuh pengiktirafan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan perkara yang diangkat sebagai warisan negeri pada tahun ini sebanyak 57.

Katanya, jumlah tersebut merangkumi 15 tapak warisan, 28 warisan makanan dan tujuh warisan kebudayaan tidak ketara termasuk pengumuman terbaharu enam tapak serta satu perayaan. – UTUSAN

The post Perayaan Hantu Lapar diisytihar sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved