
GEORGE TOWN - Teong Guan Phor Thor, atau lebih dikenali sebagai Pesta Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival) diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (Festival) Pulau Pinang di bawah Enakmen Warisan Pulau Pinang 2011 (Enakmen 14).
Selain festival berkenaan, Tanah Perkuburan Kwangtung & Tengchow No. 1 turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan negeri.
Pengiktirafan itu menjadikan Pulau Pinang negeri pertama di negara ini yang membuat pengiktirafan berkenaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata festival selama sebulan pada bulan ketujuh kalendar lunar Cina dan kemuncaknya pada hari ke-15 itu merupakan antara warisan budaya masyarakat Cina yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan bernilai tinggi.
Katanya, festival berkenaan melibatkan pelbagai ritual sebagai penghormatan kepada nenek moyang serta roh yang dipercayai berkeliaran sepanjang tempoh tersebut.
“Sepanjang festival, khemah ‘Tai Su Yeah’ (Raja Neraka) dan pentas persembahan opera atau getai didirikan di kawasan awam, manakala penganjurannya digerakkan secara bersama oleh masyarakat setempat dan peniaga di bawah penyelarasan ketua kawasan.
“Berdasarkan nilai sejarah dan budaya, pada 8 April lalu, kerajaan negeri meluluskan pencalonan Festival Teong Guan Phor Thor untuk diisytiharkan sebagai Warisan Negeri dan seterusnya diwartakan sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 25 Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Chow berkata pencalonan itu melalui proses penelitian dan tapisan terperinci oleh pakar menerusi Jawatankuasa Pakar Warisan Budaya Tidak Ketara (Sosiobudaya), sebelum mendapat pengesahan Majlis Warisan Negeri dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
“Pengiktirafan ini bukan sahaja bertujuan memelihara dan memulihara amalan tradisi, malah mempromosikan kepelbagaian festival masyarakat majmuk sebagai sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.
“Warisan Budaya Tidak Ketara ini mempunyai nilai sejarah dan budaya yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Cina yang berpegang kepada ajaran Taoisme dan agama Buddha di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Chow berkata kerajaan negeri turut meluluskan pengiktirafan beberapa lokasi sebagai Tapak Warisan di bawah Enakmen 14.
Beliau berkata antara tapak berkenaan ialah Stesen Atas dan Stesen Bawah serta Funikular Bukit Bendera, Makam Dato Koyah, Kuil Pak Koong (Ng Suk) Thai, King’s Road, Bangunan Fooi Chew Association, Kuil Loo Pun Hong dan Tanah Perkuburan Kwangtung & Tengchow No. 1.
Katanya, semua tapak berkenaan mempunyai latar belakang sejarah penting dalam pembangunan Pulau Pinang dan telah melalui tapisan ketat oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Budaya Ketara (Alam Bina).
“Kerajaan negeri berharap lebih banyak warisan budaya Pulau Pinang dapat dikenal pasti, didokumentasikan dan diangkat sebagai Warisan Negeri pada masa akan datang,” katanya. - Getaran, 3 September 2026






