Perbelanjaan melebihi peruntukan bukan perkara ringan 

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 11:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perbelanjaan melebihi peruntukan bukan perkara ringan 

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu memberikan penjelasan berhubung perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang didakwa melebihi peruntukan diluluskan sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan pematuhan terhadap prosedur dan tatacara kewangan kerajaan.

Katanya, justeru itu Ahmad Zahid dan KKDW juga wajar dikenakan tindakan bagi memastikan kementerian lain tidak mengulangi kesalahan sama yang boleh menjejaskan khazanah serta kestabilan kewangan negara.

“Perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan pematuhan terhadap prosedur dan tatacara kewangan kerajaan.

“Perbuatan sedemikian oleh Ahmad Zahid adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, yang boleh mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, KKDW pada 2023 membelanjakan RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion.

Katanya, pada 2024 pula, perbelanjaan KKDW meningkat kepada RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala pada 2025, kementerian itu membelanjakan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion yang diluluskan.

“Perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM2.1 bilion untuk tempoh tiga tahun, 2023 hingga 2025, semasa KKDW di bawah Ahmad Zahid.

“RM2.1 bilion bukanlah satu jumlah kecil sedangkan ia tidak menjadi masalah untuk tahun-tahun sebelum 2023,” katanya.

Guan Eng berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai pengurusan kewangan kerajaan kerana sekiranya semua kementerian mengambil pendekatan sama, kedudukan kewangan negara boleh terjejas.

“Apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid secara langsung menggugat keselamatan kewangan dan kestabilan ekonomi.

“Bayangkan betapa serius dan mudaratnya keadaan kewangan negara sekiranya semua kementerian kerajaan bertindak sedemikian rupa dengan membelanjakan wang sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira sama ada negara mampu atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan kontraktor yang menerima manfaat daripada projek KKDW sehingga menyebabkan perbelanjaan kementerian berkenaan melebihi peruntukan yang diluluskan.

Beliau mempersoalkan sama ada kontraktor terbabit dipilih mengikut peraturan ditetapkan serta sama ada proses pemberian kontrak dilaksanakan secara telus, terbuka dan akauntabel.

“Adakah kontraktor-kontraktor tersebut dipilih mengikut peraturan atau kaedah pemberian kontrak dijalankan secara telus, terbuka dan bertanggungjawab?” soalnya.

Guang Eng turut membangkitkan isu surat sokongan yang dikeluarkan kementerian selain Kementerian Kewangan, yang menurutnya pernah diharamkan kerana boleh dianggap sebagai surat jaminan kerajaan secara tersembunyi.

Katanya, dalam perundangan kewangan negara, hanya Kementerian Kewangan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan atau jaminan.

“Pernah tindakan diambil apabila surat sokongan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan tanpa restu Kementerian Kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri sepatutnya menunjukkan contoh kepimpinan yang mengutamakan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam menguruskan kewangan negara.

Sebaliknya, beliau mendakwa Ahmad Zahid membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa penelitian sewajarnya. –UTUSAN

 

The post Perbelanjaan melebihi peruntukan bukan perkara ringan  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved