amree05/10/2026 - 16:50 Foto kredit Freepix Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt — Perbelanjaan keseluruhan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melebihi peruntukan akhir sebanyak RM6.08 bilion, menurut Jabatan Audit Negara.
Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026, jabatan tersebut berkata perbelanjaan pembangunan RMK-12 berjumlah RM397.852 bilion berbanding peruntukan akhir iaitu sebanyak RM391.776 bilion.
Jumlah itu namun masih lagi berada dalam had siling perbelanjaan yang diluluskan bagi RMK-12, susulan kelulusan peruntukan tambahan bagi projek tertentu mencatat perbelanjaan melebihi peruntukan asal.
Ujarnya, audit terhadap pelaksanaan projek pembangunan RMK-12 turut mendapati sebanyak 3,120 projek atau 32.6% daripada keseluruhan 9,578 projek sudah pun siap setakat 31 Disember 2025.
Sementara itu tambah LKAN lagi, sebanyak 4,057 projek atau kira-kira 42.4% masih lagi dalam proses pelaksanaan, manakala sejumlah 2,208 projek atau 23% berada pada peringkat pra-pelaksanaan.

Sebanyak 193 projek lagi atau 2% telah dibatalkan atau diletakkan di bawah status 'keep in view' (KIV), menunjukkan masih terdapat projek yang memerlukan tindakan lanjut sebelum dapat diteruskan.
Jabatan Audit Negara mengesyorkan kementerian dan agensi berkaitan mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh mekanisme pengurusan risiko projek serta menjalankan pemantauan yang lebih dekat.
Menurutnya, langkah berkenaan adalah penting bagi membolehkan segala tindakan awal dapat diambil pihak berkaitan jika kelemahan dalam pelaksanaan projek tersebut dikenal pasti pada ketika itu.
Audit turut mengesyorkan kajian teknikal dan penilaian menyeluruh terhadap tapak projek dilakukan pada peringkat reka bentuk awal bagi mengelakkan perubahan skop serta peningkatan kos projek.
Tegasnya, langkah itu penting bagi memastikan projek tidak berdepan masalah ketika pelaksanaan dan disiapkan mengikut jadual serta mencapai manfaat ditetapkan kepada kumpulan sasaran. - DagangNews.com




