Pinjaman gagal dikutip Kementerian Kewangan RM8.08 bilion, ada cecah 45 tahun - Laporan Ketua Audit Negara

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pinjaman gagal dikutip Kementerian Kewangan RM8.08 bilion, ada cecah 45 tahun - Laporan Ketua Audit Negara Image from: Pinjaman gagal dikutip Kementerian Kewangan RM8.08 bilion, ada cecah 45 tahun - Laporan Ketua Audit Negara amree05/10/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt — Kementerian Kewangan (MoF) berdepan teguran keras Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 selepas hanya berjaya mengutip lima peratus sahaja daripada tunggakan pinjaman tahun lalu, dengan sebahagian hutang didapati tidak dijelaskan bertahun-tahun.

 

Menurut laporan terbaharu yang dibentangkan di Parlimen pada 5 Oktober 2026, MoF sekadar merekodkan kutipan sebanyak RM0.465 bilion daripada keseluruhan tunggakan pinjaman berjumlah RM9.273 bilion dicatatkan dari tahun sebelumnya.

 

Secara keseluruhan, setakat 31 Disember 2025, jumlah tunggakan pinjaman terkumpul mencecah RM8.084 bilion yang melibatkan tempoh tunggakan antara setahun hingga 45 tahun, membabitkan seramai 30 peminjam dan sebanyak 190 pinjaman.

 

LKAN menambah, isu paling membimbangkan adalah tunggakan melebihi enam tahun yang mencatatkan angka tertinggi iaitu RM5.024 bilion, sekali gus menyumbang kira-kira 62.1 peratus daripada keseluruhan jumlah tunggakan berkenaan.

 

Berdasarkan analisis umur tunggakan, sebanyak RM517 juta membabitkan tempoh kurang daripada setahun, RM1.083 bilion antara satu tahun hingga tiga tahun, manakala RM1.461 bilion berada dalam julat tiga tahun hingga enam tahun.

 

Ekoran kelemahan pengutipan tersebut, langkah penyusunan semula pinjaman terpaksa diambil bagi membantu peminjam, namun tunggakan baharu sebanyak RM16.15 juta direkodkan walaupun pinjaman sudah disusun semula antara satu hingga lima kali.

 

Kementerian Kewangan_DagangNews2026

 

Jelas LKAN, proses penyusunan semula itu menyaksikan tempoh bayaran balik dipanjangkan antara 10 hingga 40 tahun, yang akhirnya mengakibatkan kerajaan berdepan risiko kehilangan potensi kutipan prinsipal serta hasil faedah.

 

Justeru ujarnya, akibat pelupusan berkenaan, kerajaan terpaksa melepaskan potensi kutipan baki prinsipal bernilai RM127.33 juta, serta melupuskan hasil faedah dan faedah lewat bayar yang berjumlah RM450.99 juta.

 

Bagi mengatasi kepincangan ini, Ketua Audit Negara mengesyorkan MoF memperketat mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan, termasuk segera mengeluarkan notis tuntutan serta tindakan undang-undang terhadap peminjam gagal mematuhi perjanjian tanpa alasan munasabah.

 

Laporan itu turut mendesak penilaian keupayaan kewangan dan analisis risiko yang lebih ketat dilakukan sebelum kelulusan pinjaman baharu atau penyusunan semula dibuat, bagi memastikan ia benar-benar memulihkan aliran tunai peminjam.

 

Sementara itu, mengulas mengenai laporan tersebut, MoF memaklumkan sudah meminta peminjam termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengemukakan pelan pemulihan kewangan, manakala permohonan Indah Water Konsortium (IWK) masih menunggu kelulusan.

 

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) jelas kementerian tersebut, bersetuju untuk melaksanakan penyusunan semula, dan tindakan undang-undang sedang disediakan terhadap satu lagi peminjam. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved