PUTRAJAYA – Isu perbelanjaan berjumlah RM303.7 juta oleh NexG Bhd (NexG) ketika tempoh kepimpinan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO), Victor Chin Boon Long mencetuskan persoalan berkaitan aspek tadbir urus korporat, sekali gus mendorong gesaan agar penjelasan diberikan kepada pemegang saham.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban, Dr Mazlan Che Soh berkata, dari sudut tadbir urus yang baik, adalah wajar pihak yang terlibat dalam membuat keputusan tersebut tampil memberikan penjelasan yang jelas serta berfakta.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan prinsip pendedahan maklumat (disclosure) yang menjadi asas kepada keyakinan pasaran.
“Dalam konteks syarikat tersenarai awam, sebarang keputusan perbelanjaan berskala besar perlu dinilai berdasarkan prinsip akauntabiliti, ketelusan serta tanggungjawab fidusiari kepada pemegang saham.
“Isu ini bukan tertumpu kepada individu semata-mata, sebaliknya melibatkan proses bagaimana sesuatu keputusan strategik dibuat, diluluskan dan dikomunikasikan kepada pemegang kepentingan,” katanya.
Tambah beliau, penjelasan yang telus amat penting bagi melindungi kepentingan pemegang saham, khususnya pelabur minoriti yang bergantung kepada maklumat awam dalam menilai prestasi serta hala tuju syarikat.
Terdahulu, laporan The Edge Malaysia pada 19 Mac lalu mendedahkan perbelanjaan NexG berjumlah RM303.7 juta dalam tempoh November 2024 hingga September 2025, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap amalan tadbir urus syarikat berkenaan.
Perbelanjaan itu dilaporkan melibatkan pemerolehan syarikat keselamatan siber bernilai RM40 juta, pembelian saham dalam MMAG Holdings Bhd serta NexG Bina Bhd kira-kira RM164.8 juta, selain pemberian pinjaman berjumlah RM98.9 juta melalui cabang pinjaman syarikat.

