Perbezaan politik bukan lesen permainkan agama, ucapan tidak wajar -Arthur

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 7:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perbezaan politik bukan lesen permainkan agama, ucapan tidak wajar -Arthur
Arthur berkata, tindakan menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik adalah tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.

KOTA KINABALU - Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada mana-mana pihak untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, tindakan menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik adalah tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.

"Saya telah meneliti ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026, khususnya bahagian yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab). 

"Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa ucapan tersebut amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik. 

"Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atautepukan orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu lagi, Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan agama, justeru amat mengecewakan apabila selepas lebih enam dekad negara dibentuk masih terdapat pemimpin yang memilih menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik.

"Politik ada batas, kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan.

"Saya ingin mengingatkan semua pemimpin politik bahawa isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati," katanya..

Beliau berkata, negara mempunyai Perlembagaan dan undang-undang yang perlu dihormati bagi menjaga ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat.

Dalam pada itu, Arthur menegaskan, BN merupakan gabungan yang berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama.

"Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika, tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik.

"Prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita," katanya.

Tambah beliau, perbezaan pandangan politik, kritikan terhadap dasar dan perdebatan secara tegas boleh dilakukan, namun menjadikan agama serta kepercayaan pihak lain sebagai bahan gurauan sudah melangkaui batas kewajaran dan tanggungjawab seorang pemimpin.

"Alasan bahawa ia sekadar 'gurauan' tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup kesan dan sensitiviti yang ditimbulkan.

"Sehubungan itu, saya mendesak Datuk Noorazli Said supaya memohon maaf secara terbuka dan tanpa sebarang alasan atau berselindung, khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang sudah tersinggung dan terluka dengan ucapan tersebut," katanya.

Arthur turut menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira ideologi parti supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan terutama apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.

"Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved