
KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu percaya dengan seorang lelaki mengaku ustaz kononnya mampu menggandakan wang, simpanan RM42,580 seorang wanita warga emas lesap begitu sahaja.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara berusia 71 tahun itu terlihat iklan daripada seorang ‘ustaz’ kononnya mampu menggandakan wang di laman Facebook pada 1.15 tengah hari, 7 Oktober lalu.
“Mangsa yang tertarik telah meninggalkan nombor telefon bimbitnya di ruangan komen sebelum dihubungi suspek yang menggelarkan dirinya ‘ustaz’.
“Suspek kemudiannya meminta wanita warga itu menghubungi individu lain yang didakwa kononnya tuan gurunya bagi menyertai skim gandaan wang kononnya menawarkan pulangan RM300,000,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pesara tersebut kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran oleh ‘tuan guru’ terbabit bagi menyertai skim berkenaan.
Beliau berkata, wanita warga emas terbabit akur membuat pembayaran keseluruhan RM42,580 menerusi lima transaksi ke dalam empat akaun bank diberi suspek.
“Begitupun mangsa tidak mendapat pulangan dijanjikan malah sebaliknya diminta agar memindahkan RM50,000 ke dalam salah satu akaun bank peribadinya sendiri.
“Wanita itu mula curiga dan akhirnya menyedari dirinya sudah tertipu. Kali ini, pesara terbabit enggan menuruti arahan tersebut sebaliknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini pada pukul 11.06 malam, kelmarin,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Percaya ‘ustaz’ mampu ganda wang, simpanan RM42,580 pesara lesap appeared first on Kosmo Online.






