
KUALA TERENGGANU - Seorang pesara wanita berusia 71 tahun mengalami kerugian RM42,580 selepas menjadi mangsa penipuan skim gandaan wang yang diiklankan menerusi Facebook oleh seorang lelaki menyamar sebagai ustaz.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa menemui iklan berkenaan pada 7 Oktober lalu, kira-kira jam 1.15 tengah hari, yang mendakwa menawarkan perkhidmatan menggandakan wang.
Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian meninggalkan nombor telefon bimbitnya di ruangan komen sebelum dihubungi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai ustaz.
“Suspek kemudian mengarahkan wanita itu menghubungi seorang lagi individu yang didakwa sebagai guru agamanya untuk menyertai skim gandaan wang yang kononnya menawarkan pulangan RM300,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa seterusnya diarahkan individu terbabit untuk membuat bayaran bagi menyertai skim berkenaan.
Mangsa kemudian membuat lima transaksi berjumlah RM42,580 ke dalam empat akaun bank yang diberikan suspek.
Bagaimanapun, mangsa tidak menerima pulangan seperti dijanjikan, sebaliknya diminta memindahkan wang sebanyak RM50,000 ke salah satu akaun bank peribadinya.
“Wanita itu mula curiga dan akhirnya menyedari dirinya ditipu. Mangsa enggan mengikuti arahan berkenaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga di sini, pada jam 11.06 malam kelmarin,” katanya. - Getaran, 17 Oktober 2026






