Perdagang pembantu rumah: Mahkamah kekal hukuman penjara pegawai polis, isteri

20 May 2026 • 6:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perdagang pembantu rumah: Mahkamah kekal hukuman penjara pegawai polis, isteri
Hakim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Klang pada Rabu mengekalkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan 10 tahun terhadap seorang pegawai polis dan isterinya kerana memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia mereka bagi tujuan eksploitasi buruh paksa sehingga menyebabkan wanita itu cedera parah pada 2022.

Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim, yang kini Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, membuat keputusan itu selepas menolak rayuan, S Vijayan Rao, 42, dan K Rineshini Naidu, 39.

"Saya mendapati hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Klang Zulqarnain Hassan terjumlah dalam lingkungan tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang dan amat bersesuaian.

"Tiada alasan munasabah untuk saya campur tangan atau mengubah hukuman tersebut... oleh itu, saya menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang difailkan oleh kedua-dua perayu,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pasangan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan mereka.

Pada 2024, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman terhadap pasangan itu di akhir kes pembelaan serta memerintahkan mereka membayar pampasan sebanyak RM80,000 kepada mangsa dalam tempoh sebulan, dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan hukuman penjara mereka ditambah enam bulan lagi.

Zulqarnain memutuskan bahawa berdasarkan keterangan dan laporan perubatan pakar forensik Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur, sebanyak 20 kecederaan baharu ditemukan di kepala mangsa, tiga di leher, lima di dada, satu di belakang badan serta masing-masing enam kecederaan di tangan kanan dan kiri wanita itu.

Beliau berkata, selain itu, terdapat 42 parut di kepala mangsa, dua di dada, tujuh di belakang badan, dua di bahagian abdomen dan lapan di tangan kanan.

Pasangan itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Industri Bolton, Gombak antara Mac hingga Ogos 2022 mengikut Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Rineshini turut dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM5,000 kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Zulqarnain turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 terhadap Vijayan kerana menggaji mangsa tanpa permit sah di lokasi sama pada Disember 2021 mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman maksimum penjara 12 bulan atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu menjalani hukuman penjara tambahan selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam manakala peguam Manogaran Marimuthu dan Mooresh Kana Murthy mewakili perayu. - Bernama