PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas anggota Rela kerana menembak mati rakan baiknya, yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang, di sebuah tokong di Terengganu lima tahun lepas.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Ong Chow Lee, 62, bagi mengetepikan sabitan kes bunuh yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 2 Julai 2025.
"Mahkamah mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit... oleh itu, rayuan ditolak," katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ravinthran Paramaguru.
Pada 9 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun selepas Chow Lee mengaku membunuh Fong Swee Fuan, 65, di sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara jam 1.20 hingga 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Chow Lee turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun selepas mengaku cuba membunuh anak saudara mangsa iaitu Teo Hock Beng, 48, yang cedera ditembak di lengan kirinya pada jam 1.55 tengah hari 23 Julai 2021 mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, dia diperintahkan menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap pada 23 Julai 2021.
Bagaimanapun, Chow Lee tidak mengemukakan rayuan terhadap kesalahan cuba membunuh Hock Beng.
Pada 2 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Chow Lee bagi sabitan serta hukuman, dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Terdahulu, Chow Lee meminta kesnya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula atas alasan telah dipengaruhi bekas peguamnya untuk mengaku bersalah dan mempercayai dia hanya akan dihukum penjara 15 tahun.
Peguam Ahmad Ridzuan Awang berhujah terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang apabila Hakim Mahkamah Tinggi menerima pengakuan bersalah Chow Lee tanpa menjelaskan sifat serta akibat pengakuan tertuduh.
Beliau berkata, nota prosiding merekodkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi secara teliti menawarkan jurubahasa Cina kepada tertuduh namun Chow Lee memilih untuk mendengar dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh dalam Bahasa Melayu.
"Penggunaan Bahasa Melayu dalam membacakan pertuduhan tidak membolehkan mahkamah membuat anggapan bahawa tertuduh telah memahami pertuduhan ke atasnya, dan memahami sifat serta akibat daripada pengakuan salah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula berhujah pengakuan bersalah oleh Chow Lee jelas teratur dan mengikut prosedur undang-undang selain perayu mengakui memahami sifat dan akibat pengakuan itu.
"Adalah tidak munasabah dan tiada apa-apa sebab untuk mahkamah atau peguam menidakkan hak perayu untuk mendapatkan khidmat jurubahasa pada hari prosiding kerana nota prosiding jelas menunjukkan bahawa jurubahasa Cina ada disediakan dan hadir pada hari berkenaan.
"Mahkamah mendapati jelas perayu telah ditanya beberapa kali dan dia mengesahkan sendiri faham Bahasa Melayu dan tidak memerlukan jurubahasa Cina serta diwakili peguam ketika prosiding,” katanya. - Bernama




