KUALA LUMPUR - Jumlah perdagangan Malaysia dengan Negara-negara Anggota BRICS mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus kepada RM481.02 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ia berbanding RM400.73 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, nilai eksport meningkat sebanyak 17.4 peratus kepada RM181.40 bilion, berbanding RM154.57 bilion pada tahun sebelumnya.
"Sementara itu, nilai import turut meningkat sebanyak 21.7 peratus kepada
RM299.62 bilion, berbanding RM246.15 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.
"China, Indonesia dan India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dalam BRICS yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada jumlah perdagangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ( PN- Beluran) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan matlamat penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS, nilai tambah berbanding kerjasama dua hala dan perjanjian perdagangan sedia ada dengan anggotanya.
Tambah Lukanisman Awang, melalui kerangka BRICS, Malaysia memberi keutamaan kepada perluasan pasaran dan sektor strategik yang sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Jelasnya, langkah ini memfokuskan kepada usaha meningkatkan eksport barangan Elektrik & Elektronik (E&E), semikonduktor, dan minyak sawit, di samping menarik pelaburan teknologi baharu seperti teknologi hijau dan keselamatan siber bagi memperkukuh ekosistem inovasi tempatan.
"Selain itu, tumpuan turut diberi kepada pengukuhan ketahanan rantaian bekalan makanan dan tenaga menerusi kerjasama sektor pertanian dan projek peralihan tenaga boleh baharu.
" Usaha ini digandingkan dengan langkah memperluas pasaran sektor perkhidmatan bernilai tambah seperti pelancongan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, dan mempromosikan kepakaran Malaysia dalam bidang kewangan Islam ke negara-negara BRICS," katanya.




