
KUALA LUMPUR - Sebanyak 47,412 kandungan bersifat buli siber telah diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Januari hingga semalam, dengan 81 peratus kandungan dikenal pasti di platform TikTok.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Facebook pula merupakan platform kedua tertinggi dengan 12 peratus daripada kandungan buli siber yang dikenal pasti
.
“Dari awal tahun hingga semalam, kandungan bersifat buli siber yang dikenal pasti oleh MCMC adalah berdasarkan aduan awam,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara -Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan, di sini hari ini.
Fahmi turut memberitahu, MCMC sedang meneliti penyalahgunaan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp dan Telegram, khususnya penggunaan ciri penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption) yang membolehkan kumpulan tertutup diwujudkan tanpa pengetahuan umum.
Tambahnya, terdapat keadaan apabila insiden buli bermula atau berleluasa dalam kumpulan peribadi sedemikian, sekali gus memerlukan perhatian pihak berkuasa.
“Saya juga sedikit risau kerana ada platform ataupun mod komunikasi tertentu seperti aplikasi WhatsApp, Telegram yang bersifat end-to-end encrypted membolehkan kumpulan-kumpulan tertentu diwujudkan tanpa pengetahuan khalayak umum.
“Bukan public groups tapi private groups dan kadangkala isu-isu buli ini bermula ataupun berleluasa berlaku dalam kumpulan-kumpulan seperti ini. Jadi ini antara beberapa perkara yang sedang diteliti, akan dilaksanakan oleh pihak MCMC,” katanya.
Fahmi berkata penelitian itu turut merangkumi penyalahgunaan platform berkenaan untuk tujuan penjualan barangan terlarang termasuk dadah.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata perkara berkenaan perlu diteliti berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
“Penelitian terhadap platform komunikasi peribadi itu masih berjalan dan belum dilaksanakan pada masa ini. Walaupun tidak termasuk dalam ONSA, kita akan tetap beri penelitian berdasarkan kesan yang dibawa platform itu,” katanya.
Beliau berkata perhatian perlu diberikan kepada platform komunikasi sedemikian berdasarkan perbincangan dengan pihak polis serta aduan daripada orang ramai yang diterima berhubung kesan negatif platform terbabit. - 28 Oktober, 2026
The post MCMC turunkan 47,412 kandungan buli siber, TikTok tertinggi libatkan 81% appeared first on Scoop.





![Ada Yang Tanya Bagaimana Waze Boleh Membahayakan Negara? Content Creator Keselamatan Siber Kongsi Penjelasannya [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/waze_istana-kehakiman_1.jpg?t=1793088981)
