
KUALA LUMPUR – Seramai 1,588 daripada keseluruhan 3,322 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara adalah melibatkan kes berkaitan dadah, berdasarkan tempoh sehingga September lalu.
Timbalan Menteri Luar, Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah warganegara Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan berkaitan dadah semakin meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, lima negara yang mencatatkan kes tertinggi berkaitan dadah melibatkan warganegara Malaysia adalah Indonesia (381), China (380), Singapura (310), Thailand (102) dan Jepun (72).
“Kerajaan sentiasa mengambil berat dan memantau kes-kes konsular yang melibatkan rakyat Malaysia di luar negara, termasuk mereka yang ditahan di luar negara.
“Bagi kes-kes tahanan seumpama ini, Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan membantu dalam memastikan hak dan kebajikan semua tahanan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terjaga,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Seri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS) berhubung jumlah rakyat Malaysia yang ditahan atau didakwa atas kesalahan berkaitan dadah di luar negara dalam tempoh lima tahun terakhir ini.
Berdasarkan perbandingan, seramai 2,997 jumlah tahanan melibatkan rakyat Malaysia di luar negara sepanjang tahun 2025 dengan seramai 1,303 orang adalah kes dadah.
Pada tahun 2024 pula, seramai 2,358 rakyat Malaysia ditahan di luar negara dengan 1,181 orang berkait kesalahan dadah.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, kementerian tersebut sedar mengenai isu keberkesanan tahap keselamatan semasa di pintu masuk dan keluar negara, terutamanya isu keberkesanan teknologi pengimbasan di lapangan terbang antarabangsa Malaysia.
“Ia susulan daripada beberapa kes dilaporkan di media antarabangsa mengenai penahanan warganegara Malaysia yang terlibat dengan kesalahan membawa masuk dadah ke negara asing melalui pelbagai Modus Operandi seperti beg bagasi dan kasut yang telah diubah suai.
“Kementerian Luar Negeri percaya bahawa langkah-langkah sewajarnya telah diambil oleh pihak Kementerian Dalam Negeri melalui agensi-agensi penguatkuasaan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama kementerian dan agensi-agensi dalam negara yang berkaitan,” katanya.
Tambah beliau, langkah ini bagi memastikan kes-kes seumpama berkenaan tidak lagi berulang dan menjadi perhatian media antarabangsa yang akan menjejaskan imej negara. – KOSMO! ONLINE
The post 1,588 warga Malaysia ditahan kes dadah di luar negara appeared first on Kosmo Online.






