
BAYAN BARU – Program Riang Ria Kasih: Kasih Membawa Gembira 2025 berjaya menyatukan kasih sayang dan keprihatinan sosial apabila seramai lebih 40 ibu tunggal diraikan melalui satu inisiatif kebajikan anjuran Perkumpulan Siswa/i Pahang Darul Makmur (PERDAMA) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal Pulau Pinang.
Program ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan dan bermanfaat. Antara pengisian termasuk gotong-royong memasak, agihan barangan keperluan asas, serta bengkel penjagaan kesihatan yang memberi pendedahan tentang kesejahteraan fizikal dan mental.
Penasihat Pertubuhan, Latifah, berkata, program seperti ini bukan hanya meringankan beban ibu tunggal, tetapi juga menyuntik semangat mereka agar lebih yakin menghadapi cabaran hidup.
“Mereka amat terharu dengan sokongan mahasiswa yang sanggup meluangkan masa dan tenaga demi kebajikan masyarakat selain usaha mereka sangat dihargai,” katanya ketika ditemui MYBERITA, semalam.
Program ini turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang turut menyumbang RM2,000 melalui wakilnya. PERDAMA juga menyumbang barangan asas bagi membantu meringankan kos sara hidup peserta.
Pengarah projek, Muhammad Hisyam Hasan, berkongsi pengalamannya apabila dapat melihat senyuman ibu-ibu tunggal ini sekaligus memberi kepuasan yang tidak ternilai. Aktiviti gotong-royong dan bengkel kesihatan bukan sahaja menyeronokkan, malah mendekatkan kami dengan mereka secara lebih peribadi.
“Keseluruhan program dikendalikan oleh 30 sukarelawan terdiri daripada mahasiswa tahun 1 sehingga 3 USM selain menonjolkan semangat kesukarelawanan dan kepedulian generasi muda terhadap masyarakat,” katanya.
Inisiatif seperti Riang Ria Kasih diharapkan dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan, sebagai platform untuk menanam nilai empati, kasih sayang, dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.



