
PETALING JAYA: Hasrat raja renang negara, Khiew Hoe Yean untuk menutup kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya dengan aksi cemerlang lebur selepas tersingkir mengejut dalam saringan 400 meter (m) gaya bebas lelaki, semalam.
Perenang berusia 24 tahun itu hanya mencatat 3:56.94 saat (s) untuk menduduki tempat ke-13 keseluruhan, sekali gus gagal melayakkan diri ke final acara yang pernah menyaksikannya hampir mencipta sejarah di Hangzhou 2022.
Catatan tersebut ketinggalan 9.56s daripada rekod kebangsaan miliknya 3:47.38s, malah jauh lebih perlahan berbanding 3:49.47s yang dilakarnya pada final Sukan Asia Hangzhou 2022 ketika terlepas gangsa hanya 0.31s kepada Nguyen Huy Hoang dari Vietnam.
Lebih mengecewakan, rakan senegara Muhammad Dhuha Zulfikry turut gagal ke final selepas sekadar menghuni tempat ke-16 dengan catatan 3:58.06s, menjadikan acara 400m gaya bebas satu lagi kekecewaan buat kem renang negara.
Kegagalan itu melengkapkan pagi suram Malaysia apabila kesemua lima perenang yang turun dalam empat acara gagal melangkah ke final, termasuk Jayden Tan yang menduduki tempat ke-17 dalam 200m kuak kupu-kupu dengan 2:04.94s.
Dalam acara sama, Goh Li Jie turut terkandas selepas menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan catatan 2:10.19s, manakala Andrew Goh sekadar di tempat ke-19 dalam 50m kuak dada menerusi catatan 28.28s.
Lebih meresahkan, catatan Andrew turut 0.88s di belakang rekod kebangsaan 27.40s, sekali gus menggambarkan betapa sukarnya Malaysia mencipta impak pada hari terakhir renang apabila kelima-lima wakil negara gagal membawa cabaran ke final. – UTUSAN
The post Perenang negara ‘tenggelam’ di hari terakhir appeared first on Utusan Malaysia.






