
KUALA LUMPUR – Hasrat skuad badminton negara untuk meneruskan kemaraan dalam acara berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan suku akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Municipal Ichinomiya City hari ini, Malaysia terpaksa akur gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas 3-2 kepada Indonesia.
Turun menentang pilihan utama kejohanan, pasukan negara bagaimanapun bermula dengan langkah kanan apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao melakar kejutan ke atas Jonatan Christie.
Berdepan pemain lawan yang menghuni ranking No.1 dunia, Jun Hao menampilkan corak permainan cukup baik dan berjaya mencatat kemenangan 20-22, 21-12, 21-17 untuk mata pertama Malaysia.
Momentum itu gagal diteruskan beregu pertama, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang tewas 15-21, 21-19, 10-21 kepada gandingan Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri bagi menjadikan kedudukan 1-1.
Kemudian, Justin Hoh yang turun sebagai perseorangan kedua turut gagal untuk menyumbang mata kedua pasukan negara apabila tewas tipis 19-21, 19-21 kepada Alwi Farhan.
Aaron Chia-Tee Kai Wun yang turun sebagai beregu kedua kembali menghidupkan peluang Malaysia apabila menyamakan kedudukan 2-2 selepas menewaskan Daniel Marthin-Leo Rolly Carnando 17-21, 21-16, 21-13.
Dalam perlawanan penentuan, perseorangan ketiga negara, Eogene Ewe kempunan untuk menghadiahkan mata kemenangan Malaysia apabila tewas 11-21, 11-21 kepada Moh. Zaki Ubaidillah. – KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Skuad badminton lelaki kandas di suku akhir appeared first on Kosmo Online.






