
Dua lelaki cedera di muka dan lengan dilibas pedang dalam pergaduhan di stor getah RPT Kesedar Sungai Terah, Gua Musang. Suspek ditahan orang awam.
GUA MUSANG: Dua lelaki tempatan cedera selepas dilibas dengan sebilah pedang dalam kejadian pergaduhan di sebuah stor getah di RPT Kesedar Sungai Terah, di sini pada hari Selasa (Okt 6).
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata kejadian pada 8.30 malam itu, melibatkan mangsa berusia 33 dan 40 tahun yang masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian muka dan lengan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku, ketika beberapa individu sedang berbincang bagi menyelesaikan perselisihan berkaitan pembuangan kepingan mozek pecah dan kerosakan kamera litar tertutup (CCTV), di kawasan stor berkenaan.
“Semasa perbincangan, seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai cuba mengeluarkan sebilah pedang yang diselitkan di belakang badannya, sebelum seorang daripada mangsa cuba menghalang tindakan itu. Berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak melibas pedang berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sik berkata mangsa pertama mengalami luka kira-kira 18 sentimeter (cm) pada pipi kiri, manakala mangsa kedua mengalami luka kira-kira 5cm pada lengan kanan, dengan seorang daripada mereka masih menerima rawatan di hospital.
Beliau berkata suspek cuba melarikan diri selepas kejadian, namun berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis, manakala polis turut merampas sebilah pedang bersarung kayu dan sebilah pisau bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Sik menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak agresif atau menggunakan senjata ketika menyelesaikan sebarang perselisihan, sebaliknya menyelesaikannya secara aman atau melaporkan kepada pihak berkuasa.




