Perhutanan ukur semula sempadan tanah Kampung Bukit Sungai Puteh

LocalEnvironment
24 Jun 2026 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Perhutanan ukur semula sempadan tanah Kampung Bukit Sungai Puteh

SHAH ALAM, 24 JUN: Jabatan Perhutanan Selangor akan melaksanakan pengukuran semula sempadan tanah di Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang Jaya bagi menentukan kedudukan sebenar lot penduduk susulan penemuan beberapa kes melibatkan kawasan hutan simpan.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata langkah itu penting bagi memastikan sempadan antara tanah persendirian dan tanah perhutanan dikenal pasti dengan tepat, sekali gus mengelakkan salah faham dalam kalangan penduduk.

Image from: Perhutanan ukur semula sempadan tanah Kampung Bukit Sungai Puteh
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Perhutanan akan datang sekali lagi untuk membuat ukuran yang lebih halus bagi menentukan sempadan sebenar antara tanah persendirian dan tanah perhutanan.

"Selepas proses itu selesai, kita akan maklumkan kepada penduduk yang terlibat dan mencari jalan penyelesaian secara berhemah bersama Jabatan Perhutanan, MPAJ serta pihak kampung," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata semakan awal mendapati tiga kediaman dikenal pasti memasuki sedikit kawasan tanah perhutanan selepas pengukuran dibuat susulan kejadian tanah runtuh kecil di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar lot yang terlibat hanya dapat dipastikan selepas pengukuran menyeluruh melibatkan seluruh kampung selesai dilaksanakan.

"Setakat ini baru tiga rumah yang dikenal pasti, tetapi kita minta Jabatan Perhutanan buat ukuran halus untuk satu kampung.

"Bila ukuran itu siap nanti, kita boleh maklumkan kepada semua penduduk dan perbetulkan mana-mana kesilapan yang berlaku," katanya.

Image from: Perhutanan ukur semula sempadan tanah Kampung Bukit Sungai Puteh
Jabatan Perhutanan Selangor akan menjalankan pengukuran terperinci di Kampung Sungai Puteh bagi mengenal pasti sempadan sebenar antara tanah persendirian dan hutan simpan susulan penemuan beberapa kes pencerobohan kecil yang dipercayai berlaku tanpa disedari pemilik. Foto YBAltimed

Syed Ahmad berkata perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Perhutanan Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan kepimpinan kampung bagi menyelaras tindakan susulan.

Menurutnya, dapatan awal menunjukkan isu berkenaan berkemungkinan berpunca daripada ketidaktepatan ukuran lot yang dibuat sejak sekian lama dan bukannya pencerobohan yang dilakukan secara sengaja.

"Kepercayaan saya, ketua kampung dan pihak perhutanan sendiri ialah jika ada pencerobohan, ia bukan dilakukan secara sengaja.

"Sebab itu kita mahu buat ukuran semula supaya semua pihak tahu kedudukan sebenar sempadan dan tidak timbul salah faham pada masa depan," katanya.

Beliau menambah pemilik rumah yang didapati terlibat akan diberi tempoh munasabah untuk membuat pembetulan, dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan membantu melancarkan proses berkenaan.

"Biasanya kalau berlaku pencerobohan, kita akan minta mereka keluar daripada bahagian yang terlibat dan menyerahkan semula kawasan itu kepada pihak perhutanan.

"Alhamdulillah, perhutanan memberi tempoh yang agak lama kepada penduduk yang terkesan dan kita akan bekerjasama dengan ketua kampung serta MPAJ untuk melancarkan proses pembetulan itu," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved