
JAKARTA – Penduduk di kawasan Bayur, wilayah Kalimantan Timur terpaksa bergantung kepada bekalan air dari parit demi kelangsungan hidup, lapor saluran berita radar kaltim.
Kemarau berpanjangan yang melanda wilayah Kalimantan Timur menyebabkan perigi yang selama ini menjadi sumber bekalan air utama penduduk setempat kering.
Situasi ini menjejaskan aktiviti harian seperti mandi dan mencuci.
Terdesak dengan krisis berkenaan, sebilangan penduduk terpaksa bergantung kepada air parit berhampiran penempatan mereka.
Walaupun menyedari kualiti air parit tersebut tidak selamat, mereka tidak mempunyai pilihan demi kelangsungan hidup.
Pilihan untuk membeli air simpanan juga sukar dilaksanakan kerana bakal menambah beban kewangan keluarga.
Setelah beberapa minggu menanggung kesukaran, bantuan bekalan air bersih akhirnya mula disalurkan ke kawasan Bayur, Jalan Padat Karya, Kelurahan Sempaja Utara.
Menerusi laporan terbaharu, Palang Merah Indonesia (PMI) Wilayah Kalimantan Timur telah mengagihkan kira-kira 5,000 liter air bersih kepada penduduk di RT 38 pada Rabu lalu.
Bantuan kemanusiaan tersebut disambut lega oleh penduduk yang terputus bekalan air sejak sekian lama. – AGENSI
The post Perigi kering, penduduk terpaksa guna air parit appeared first on Kosmo Digital.



