Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dicadangkan menggunakan nama baharu, Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Memetik laporan Sinara Harian, Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan itu dikemukakan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terhadap kerjasama yang dijalin antara kedua-dua gabungan politik tersebut.
Menurut beliau, penggunaan sebutan PN-BN mungkin agak sukar bagi sesetengah pihak, justeru nama PBN disifatkan lebih ringkas serta mudah diingati oleh pengundi.
“Kita mahu namakan supaya orang tidak keliru lagi. Kita di Negeri Sembilan bermula dengan Perikatan Barisan Nasional (PBN). Ramai orang susah menyebut PN-BN, jadi PBN sahaja. Namun, perkara paling penting bukan nama itu, tetapi jiwa kebersamaan kita dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Bukit Rokan, malam Selasa.
Hamzah berkata, apa juga nama yang digunakan bukanlah isu utama, sebaliknya kesepakatan antara semua parti dalam gabungan perlu diberi keutamaan bagi membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, PBN akan membawa ‘gelombang biru’ untuk berdepan ‘gelombang merah’ yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kita boleh namakan apa sekalipun. Gelombang yang kita nampak hari ini lebih jelas, iaitu gelombang biru menentang gelombang merah.
“Sekiranya biru menjadi pilihan majoriti rakyat, insya-Allah kita akan mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah menegaskan PN sejak awal lagi bersetuju supaya BN menerajui gabungan serta mengetuai kerajaan negeri sekiranya PBN memperoleh mandat rakyat pada PRN akan datang.
“Kami dalam PN bersetuju dari awal lagi supaya BN menerajuinya bersama-sama kami di Negeri Sembilan. Tidak ada masalah langsung sekiranya kita boleh bermuafakat seperti ini,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa pertemuan antara pemimpin gabungan telah diadakan lebih awal bagi menyelesaikan sebarang rasa tidak puas hati, perselisihan atau isu yang pernah timbul sebelum ini.
Katanya, langkah tersebut penting supaya seluruh jentera PBN dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya serta usaha mendekati pengundi.
“Manusia mempunyai perasaan. Kadang-kadang ada perasaan kecewa dan masalah yang berlaku dahulu.
“Kita boleh menyelesaikannya apabila bertemu. Pertemuan ini dilakukan pada peringkat awal supaya selepas ini kita boleh turun dan bekerja keras,” kongsinya.
Hamzah berkata, semua jentera juga perlu memastikan rakyat memahami perancangan yang dibawa PBN demi masa depan Negeri Sembilan.
“Sekiranya kita dapat menjatuhkan kerajaan lama PH dan menggantikannya dengan kerajaan baharu PBN, ia akan memberikan rasa lebih selesa kepada rakyat seluruh negara.
“Gabungan ini boleh menunjukkan bahawa apa sahaja rasa tidak puas hati boleh diselesaikan melalui sistem demokrasi. Rakyat yang akan menentukan,” dedahnya.
Artikel lain: KJ tegaskan formula BN-PN Negeri Sembilan berpotensi dibawa ke Selangor
Bagaimanapun, beliau menjelaskan cadangan menggunakan nama PBN masih di peringkat awal dan akan dibincangkan terlebih dahulu bersama pimpinan parti-parti yang terlibat.
“Ini baru saya keluarkan hari ini. Saya akan berjumpa dengan rakan-rakan kita dan melihat bagaimana selepas ini,” tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian






