
PETALING JAYA: Pemeriksaan keselamatan di semua pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang perlu dilaksanakan tanpa mengira status individu termasuk golongan kenamaan (VIP) dan kakitangan syarikat penerbangan.
Status seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk diberikan keistimewaan dalam proses pemeriksaan kerana ia berpotensi dieksploitasi oleh sindiket jenayah bagi membawa masuk keluar dan bahan-bahan terlarang.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, aspek keselamatan perlu diterapkan kepada semua individu tanpa pengecualian termasuk kru penerbangan atau mereka yang menggunakan laluan khas.
“Walaupun terdapat prosedur berbeza bagi kumpulan tertentu, tiada siapa yang sepatutnya dikecualikan daripada pemantauan hanya berdasarkan profil atau jawatan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, kemungkinan sindiket jenayah mengambil kesempatan terhadap kelemahan atau kesilapan sistem dan manusia (human error) tidak boleh dipandang ringan.
Jelasnya, sindiket ini akan sentiasa mengubah taktik atas kelemahan sistem dan manusia .
“Justeru, pegawai yang mengendalikan sistem pemeriksaan perlu sentiasa peka dan tidak terlalu bergantung kepada rutin harian sehingga terlepas pandang unsur yang mencurigakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razarudin mencadangkan syarikat penerbangan agar melaksanakan ‘profiling’ terhadap kakitangan termasuk juruterbang dan kru penerbangan mereka bagi memperkukuh usaha membanteras kegiatan penyeludupan termasuk dadah.
Jelasnya, semua pihak termasuk syarikat penerbangan dan agensi penguat kuasa perlu bekerjasama agar sebarang cubaan penyeludupan dapat dikesan lebih awal demi menjamin imej negara.
Menurut beliau, teknologi pengimbas di pintu masuk negara kini semakin canggih dan setanding dengan yang digunakan di banyak negara maju.
Namun, katanya, teknologi semata-mata tidak mencukupi kerana faktor manusia masih menjadi penentu utama dalam mengenal pasti sama ada sesuatu imej yang dipaparkan benar-benar mencurigakan.
“Sebagai contoh, imej pil atau objek tertentu yang muncul pada skrin pengimbas memerlukan penelitian dan pertimbangan pegawai yang berpengalaman.
“Walaupun sistem mampu mengesan objek, keputusan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut masih bergantung kepada kecekapan, pengalaman dan tahap kewaspadaan petugas,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa integriti penjawat awam merupakan faktor paling penting dalam memastikan sistem kawalan keselamatan negara berfungsi dengan berkesan.
“Mereka perlu menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan tidak bersikap sambil lewa. Setiap kelalaian boleh memberi kesan besar kepada negara, khususnya dalam usaha membanteras penyeludupan dadah yang mampu merosakkan masa depan generasi muda,” jelasnya.
Razarudin berkata, kejayaan pasukan narkotik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas sejumlah besar dadah sebelum ini membuktikan bahawa gabungan teknologi, risikan, profiling dan pemeriksaan fizikal oleh anggota berpengalaman merupakan formula paling berkesan dalam mengekang kegiatan penyeludupan.
“Ini membuktikan kejayaan tidak bergantung kepada mesin semata-mata sebaliknya memerlukan gabungan sistem yang mantap serta pegawai yang sentiasa berwaspada,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, sistem keselamatan serta teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih hanya mampu mengesan ancaman berdasarkan data dan corak yang telah dikenal pasti sedangkan sindiket penyeludupan sentiasa mengubah modus operandi bagi mengelakkan dikesan.
“Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh terlalu selesa dengan tahap keselamatan sedia ada sehingga menjadi lalai,” jelasnya.
Menurut beliau, kelemahan sebenar bukan semata-mata terletak pada teknologi sebaliknya membabitkan aspek risikan, perkongsian maklumat antara agensi, integriti serta keupayaan pihak berkuasa mendahului taktik yang digunakan oleh sindiket.
“Dalam jenayah terancang, sindiket sentiasa mencari ruang untuk mengeksploitasi sebarang kelemahan, walau sekecil mana sekalipun, sekali gus menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh dan proaktif dalam memperkukuh keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN
The post Periksa semua penumpang penerbangan, VIP appeared first on Utusan Malaysia.



