Peringatan Awam: Waspada Modus Operandi Penipuan Perolehan Dan Pesanan Kerajaan Palsu Menggunakan Nama MATRADE

5 Nov 2026 • 12:41 PM MYT
Newswav
Newswav

Newswav

Image from: Peringatan Awam: Waspada Modus Operandi Penipuan Perolehan Dan Pesanan Kerajaan Palsu Menggunakan Nama MATRADE
Image Kredit : MATRADE

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memandang serius aduan orang ramai dan komuniti perniagaan berhubung kewujudan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai kakitangan MATRADE. Sindiket ini dikesan menghubungi syarikat pembekal secara terus melalui emel dan aplikasi pemesejan WhatsApp bagi tujuan memperdaya mangsa dengan tawaran perolehan bekalan atau perkhidmatan palsu.

Modus Operandi Sindiket dan Perangkap Bayaran ‘Sub-Order’

Siasatan awal mendapati suspek menyasarkan pembekal dengan mendakwa kononnya MATRADE memerlukan perkhidmatan segera bagi:

  • Pengurusan program delegasi dari luar negara;
  • Perkhidmatan penterjemahan bagi reruai pameran perdagangan antarabangsa;
  • Penganjuran aktiviti rekreasi korporat seperti program pendakian (hiking); serta
  • Pembekalan cenderamata dan perkhidmatan logistik berkaitan.

Bagi meyakinkan mangsa, sindiket meminta syarikat menyerahkan dokumen termasuk sebut harga (quotation), profil syarikat, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan penyata akaun bank syarikat, serta sijil pendaftaran Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Maklumat syarikat ini kemudiannya disalahgunakan untuk menjana Surat Niat (Letter of Intent), Surat Setuju Terima (LOA), dan Pesanan Kerajaan (Local Order) palsu kononnya perolehan tersebut telah diluluskan secara rasmi oleh pihak MATRADE.

MATRADE turut menerima laporan bahawa terdapat syarikat yang telah terpedaya sehingga mengalami kerugian kewangan akibat membuat bayaran pendahuluan kepada akaun pihak ketiga atau pembekal sampingan (sub-order). Dalam taktik ini, sindiket mengarahkan mangsa membayar pembekal sub-order kononnya bagi perolehan cenderahati atau kelengkapan khas projek sebelum bayaran penuh kerajaan disalurkan, walhal akaun tersebut dikawal sepenuhnya oleh sindiket penipuan.

Tindakan Penguatkuasaan Tegas

MATRADE tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan mencemar integriti Agensi serta menjejaskan ekosistem perniagaan tempatan. Laporan polis rasmi telah dibuat untuk tindakan jenayah komersial, di samping aduan rasmi kepada pihak CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan dan menyekat jejak digital dalang di sebalik sindiket ini.

Langkah Pencegahan untuk Syarikat dan Orang Awam

MATRADE menegaskan bahawa integriti perolehan kerajaan sentiasa dipelihara melalui prosedur yang ketat:

  • Pengesahan Domain Emel: Semua urusan rasmi pegawai MATRADE hanya menggunakan alamat emel berdomain rasmi @matrade.gov.my. MATRADE tidak menggunakan domain emel percuma (seperti Gmail, Yahoo, Hotmail) mahupun akaun WhatsApp peribadi untuk urusan perolehan. Sebagai contoh, emel yang digunakan pihak sindiket: matrade@administrations.info. dan pengurusan@portalmof.com.
  • Pematuhan Saluran Perolehan Kerajaan: Selaras dengan Tatacara Pengurusan Perolehan di bawah Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, semua urusan perolehan MATRADE dilaksanakan secara telus melalui proses Perolehan atau portal rasmi Agensi, bukan melalui komunikasi tidak rasmi.
  • Lindungi Data Syarikat: Jangan sesekali menyerahkan maklumat perbankan, dokumen MOF atau salinan penyata kewangan syarikat kepada individu yang tidak dapat disahkan identitinya.

Tindakan Kecemasan Sekiranya Anda Telah Menjadi Mangsa

Sekiranya syarikat atau individu telah terpedaya dan memindahkan wang ke akaun sindiket atau pihak sub-order:

  1. Hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan serta-merta bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk menyekat aliran transaksi keluar dari sistem perbankan.
  2. Buat laporan polis di balai polis berdekatan dengan segera bersama bukti transaksi, salinan dokumen palsu dan tangkap layar skrin perbualan bagi tindakan siasatan jenayah komersial.

Pihak MATRADE memandang serius terhadap sebarang bentuk penipuan yang melibatkan nama agensi dan akan mengambil tindakan sewajarnya demi melindungi kepentingan para pengeksport dan orang awam. Sekiranya syarikat anda menerima sebarang komunikasi mencurigakan berkaitan perolehan MATRADE, jangan buat sebarang transaksi atau penyerahan dokumen. Hubungi MATRADE dengan segera melalui talian rasmi +603-6207 7077 atau emel ke info@matrade.gov.my untuk pengesahan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved