
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua (2) bulan bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 di seluruh negara terhadap penunggang dan pemilik motosikal bagi pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya.
Pelaksanaan Ops Khas Motosikal ini adalah susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya melibatkan motosikal adalah sebanyak 1,908 atau 70%.
Bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ke – 3 dan ke – 4 tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan – peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Bagi mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian, pihak JPJ akan memfokuskan kepada lapan (8) kesalahan utama seperti berikut :
- Tiada Lesen Memandu
- Tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM)/ Tamat Tempoh
- Tiada Perlindungan Insurans
- Melanggar Isyarat Lalu Lintas (Lampu Merah)
- Ubahsuai Kenderaan (Extreme)
- Tidak Memakai Topi Keledar
- Lumba Haram
- Kesalahan Lain (Teknikal)
JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang/ pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang & peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya. Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM).
Pihak JPJ turut menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ : e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan. “Pandu Cermat, Sampai Selamat”.






