
KUALA LUMPUR - Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kembali ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 10 pagi tadi, bagi menyambung sesi memberi keterangan berhubung siasatan melibatkan perjanjian strategik bernilai tinggi.
Proses tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan berterusan SPRM terhadap dakwaan melibatkan nilai kira-kira RM1.1 bilion, dengan sesi lanjut dijangka diadakan bergantung kepada perkembangan siasatan.
Menurut Rafizi, langkah berkenaan adalah satu prosedur rutin walaupun mengambil masa yang panjang.
“Ia adalah proses siasatan biasa, mereka bertanya soalan dan saya menjawab.
“Setakat ini, semuanya berjalan lancar, walaupun memakan masa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Jelasnya, sesi terdahulu bermula pada jam 10 pagi semalam dan berakhir pada jam 6.40 petang, mengambil masa hampir sembilan jam.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butiran siasatan berikutan ia masih dalam proses.
“Saya tidak boleh mengulas mengenai sudut-sudut khusus siasatan,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu turut tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula untuk beberapa hari lagi, bergantung kepada skop soal siasat dan perkembangan kes.
Siasatan terbabit berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam kerjasama strategik semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings, sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar sebelum ini mengesahkan bahawa Rafizi akan dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang menyentuh mengenai penyalahgunaan jawatan bagi tujuan mendapatkan suapan.
Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata, kehadiran Rafizi adalah sebahagian daripada usaha SPRM untuk melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan. - Getaran, 5 Mei 2026





