Perjanjian Senjata RM1.1 Bilion: Rafizi Hadir Ke SPRM, Serah Dokumen 28 Muka Surat

LocalPolitics
14 May 2026 • 1:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Perjanjian Senjata RM1.1 Bilion: Rafizi Hadir Ke SPRM, Serah Dokumen 28 Muka Surat

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, bagi memberikan kenyataan sukarela tambahan berhubung siasatan yang dijalankan terhadap beliau.

Bekas Menteri Ekonomi itu memaklumkan, beliau turut menyerahkan dokumen tambahan setebal 28 muka surat yang mengandungi laporan media, kenyataan rasmi serta rekod berkaitan perbincangan dan pengumuman dasar kerjasama melibatkan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings Inc.

Menurut Rafizi, peguamnya telah menghantar surat kepada SPRM pada Ahad lalu bagi memaklumkan hasrat beliau untuk menyerahkan bukti tambahan secara sukarela, bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Bahan ini merangkumi perkara yang tidak dibangkitkan ketika sesi rakaman percakapan minggu lalu,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat SPRM.

Katanya, beliau optimis SPRM mampu membuat keputusan sewajarnya, memandangkan tiada unsur wang atau transaksi dikenal pasti sepanjang proses soal siasat dijalankan.

Dalam pada itu, Rafizi mendakwa, masih terdapat beberapa saksi penting yang belum dipanggil bagi membantu siasatan berhubung usaha sama antara kerajaan dan Arm Holdings.

Pada 7 Mei lalu, Rafizi selesai memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selepas hadir selama empat hari berturut-turut untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, SPRM memaklumkan seramai 22 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Getaran, 14 Mei 2026