PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ke lima siasatan bagi memberi keterangan tambahan secara sukarela berhubung pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings Inc (ARM) dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut memberitahu, beliau akan menyerahkan 28 item yang antara lain mengandungi laporan media, kenyataan rasmi serta rekod berkaitan perbincangan dan pengumuman dasar kerjasama berkenaan.
"Pihak peguam saya menghantar surat kepada SPRM hari Ahad lepas memaklumkan bahawa saya secara sukarela ingin membuat keterangan tambahan supaya boleh membantu siasatan supaya lebih menyeluruh dengan bukti-bukti lain yang tidak disoal siasat semasa tempoh mengambil keterangan minggu lepas,” katanya dalam sidang akhbar di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis.
Menurut beliau, sesi memberi keterangan tambahan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Rabu namun ditangguhkan atas permintaan SPRM.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan bahawa Rafizi dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.
Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 22 saksi termasuk Rafizidan bekas pegawainya, James Chai.
Dalam pada itu, Rafizi mendakwa masih terdapat saksi penting yang belum dipanggil bagi melengkapkan siasatan serta memastikan keseluruhan fakta dapat dinilai secara menyeluruh.
“Bagi saya ada lagi sebenarnya saksi-saksi yang belum dipanggil untuk membuat keterangan. Jadi untuk SPRM kalau betul mahu mengetahui keadaan rundingan serta fakta-fakta yang berlaku semasa rundingan dengan ARM ini, ada banyak lagi saksi yang belum dipanggil,” katanya.
Menurut Rafizi, panggilan saksi tambahan penting bagi memastikan siasatan dapat dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, terdapat beberapa pihak yang terlibat secara langsung dalam proses rundingan dan pengumuman kerjasama itu yang menurut beliau boleh membantu memberi gambaran lebih lengkap kepada pasukan penyiasat.
Beliau berkata, perkara berkenaan tidak dilakukan secara tertutup sebaliknya melalui proses rasmi yang turut melibatkan pimpinan kanan kerajaan.
“Kerjasama dengan ARM ini bukannya dibuat di belakang pintu secara senyap-senyap macam 1MDB. Ia dilaporkan secara meluas oleh pihak media.
“Kenyataan-kenyataan serta keterangan daripada pimpinan kanan negara termasuk tiga lagi pimpinan kanan kerajaan sebelum ini termasuklah daripada Datuk Seri Anwar sendiri, daripada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (ketika) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memuji ia sebagai satu dasar besar negara sebagai satu dasar besar negara," katanya lagi.





