
Kota Kinabalu: Perjuangan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) dalam memperkasakan bahasa dan sastera di Sabah akhirnya diiktiraf dan dihargai.
Presidennya, Datuk Jasni Matlani berkata, sejak ditubuhkan pada 1970, Bahasa melalui pelbagai cabaran, bertukar pucuk pimpinan serta pasang surut perjuangan, tetapi tidak pernah mundur ke belakang.
“Kita dalam Bahasa sentiasa berfikiran positif, bekerja keras dan bergerak ke hadapan, seterusnya mengadaptasi perkembangan di sekeliling, bagi membolehkan kami menikmati apa yang dicapai hari ini,” kata Jasni.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Turut hadir, Hakim Mahkanah Industri Negeri Sabah merangkap penasihat undang-undang Bahasa, Datuk Indra Haji Ayub; Penasihat Ekonomi Bahasa, Datuk Jamawi Jaafar; Pengarah Hal Ehwal Korporat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Dr Benedick Oliver Lidadun; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Aidah Awang; Pengarah Bahagian Saraan dan Pencen, Rozhan Zul Azri Talikop; pegawai Bahagian Saraan dan Pencen, Afsah Matjin dan Timbalan Presiden Bahasa, Siti Rahmah Ibrahim.
Jasni, yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia berkata, penghargaan tersebut dalam bentuk kerajaan secara rasmi menyediakan rumah untuk dijadikan pusat hentian setempat, pejabat pentadbiran dan pengurusan, serta lokasi penganjuran pelbagai kegiatan sastera di pusat bandar Kota Kinabalu.
“Ini akan menyemarakkan lagi kegiatan sastera secara terancang di Kota Kinabalu, seterusnya memberikan impak besar dalam undang-undang Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang diiktiraf oleh Unesco,” kata Jasni.
Atas bantuan merealisasi cita-cita dan iltizam Bahasa selama ini, beliau turut memberi penghargaan khususnya kepada Kerajaan Sabah, DBP, DBKK, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Kebudayaan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Sabah, Gapena, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya dan Kent, serta pelbagai agensi kerajaan lain yang turut membantu selama ini.
“Terlalu banyak agensi kerajaan yang membantu, tetapi tidak diisytiharkan. Semoga kita berjaya,” katanya.



