Perjudian ‘online’ kini berselindung di sebalik kafe, kedai minuman

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 1:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perjudian ‘online’ kini berselindung di sebalik kafe, kedai minuman

KUALA LUMPUR: Kegiatan perjudian dalam talian kini dikesan berselindung di sebalik premis perniagaan lain termasuk kafe, kedai minuman dan kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.

Modus operandi tersebut dikesan melalui Op Dadu Khas dijalankan dengan menyerbu 201 premis di seluruh negara pada 30 Oktober dan 1 November lalu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, dalam operasi itu, seramai 282 individu ditahan bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian dan nombor ekor tanpa lesen.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 229 adalah lelaki manakala 53 perempuan berumur antara 20 hingga 65 tahun.

“Seramai 59 daripada mereka adalah warga asing membabitkan warganegara Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh yang telah digajikan oleh sindiket-sindiket tempatan.

“Turut ditahan, individu yang dikesan memiliki aplikasi perjudian dalam talian selain bermain di kaki lima,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati beberapa sindiket telah dikenal pasti antaranya Winbox dan Alibaba.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita sedang mengenal pasti ketua-ketua sindiket berkenaan untuk tindakan susulan termasuk di bawah Akta Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), katanya.

Mengulas kegiatan perjudian dalam talian yang kembali beroperasi, beliau berkata, sindiket terbabit bergerak secara berpindah-randah kerana hanya memerlukan kemudahan seperti penstriman dan Wi-Fi untuk menjalankan operasi serta transaksi.

“Dia boleh beroperasi di mana-mana sahaja. Jadi pihak polis telah menjalankan risikan dan mengenal pasti premis-premis ini,” katanya.

Tambahnya, kesemua 201 premis berkenaan akan dicadangkan untuk pemotongan bekalan elektrik selepas siasatan selesai, selaras peruntukan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

“Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menurunkan iklan perjudian dalam talian yang disebarkan menerusi media sosial.

“Operasi membanteras kegiatan perjudian akan diteruskan dari semasa ke semasa dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu tindakan terhadap kegiatan berkenaan,” katanya.- UTUSAN 

The post Perjudian ‘online’ kini berselindung di sebalik kafe, kedai minuman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved