Sumbat 20 penghuni dalam satu bilik

LocalEnvironment
20 Oct 2026 • 12:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sumbat 20 penghuni dalam satu bilik

SEREMBAN – Sebanyak 19 premis rumah kedai dan pejabat dikesan diubah suai tanpa kelulusan untuk dijadikan asrama pekerja dalam Ops Sarang Burung di Pusat Perniagaan Oakland, Seremban 2, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 71 lot dengan jumlah keseluruhan sebanyak 242 bilik.

Antara kesalahan yang dikesan adalah mengubah suai struktur bangunan tanpa kelulusan, pendawaian elektrik tidak mengikut piawaian, tiada alat pemadam api dan laluan kecemasan yang tidak mencukupi.

“Pemeriksaan mendapati ada kedai atau pejabat diubah suai menjadi asrama dengan jumlah penghuni yang ramai tanpa mengambil kira aspek keselamatan.

“Operasi turut menemukan sebuah premis berkeluasan enam meter lebar dan 21 meter panjang yang menempatkan sehingga 20 penghuni dengan setiap katil dilengkapi sambungan elektrik tambahan.

“Bayangkan apabila terdapat 20 katil, terdapat 20 penyambungan elektrik. Keadaan ini meningkatkan beban penggunaan elektrik dan boleh mengakibatkan litar pintas sehingga mencetuskan kebakaran,” katanya ketika ditemui selepas operasi.

Nor Arifin berkata, selain itu, operasi itu membongkar bilik penginapan yang dibina menggunakan papan lapis mudah terbakar, selain sistem pendawaian dan papan agihan elektrik diubah suai bagi menampung penggunaan elektrik berlebihan.

“Lebih membimbangkan, ada premis yang hanya mempunyai satu tangga sedangkan berdasarkan kapasiti penghuni, dua laluan keluar diperlukan bagi membolehkan mereka menyelamatkan diri ketika kecemasan,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihak bomba mengeluarkan Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran kepada pemilik premis dalam masa tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Pemilik yang gagal mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan mahkamah di bawah Seksyen 10 akta sama dengan denda maksimum RM5,000 bagi setiap notis tertakluk kepada keputusan mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sumbat 20 penghuni dalam satu bilik appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved