Aktiviti persundalan dalam pusat beli-belah sendu di Klang diserbu

30 Oct 2026 • 12:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pusat beli-belah Klang

SHAH ALAM: Sebuah pusat karaoke premium yang menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) berselindung di dalam sebuah bangunan pusat beli-belah sendu di Pusat Bandar Klang untuk mengelak dikesan pihak berkuasa diserbu tengah malam tadi.

Serbuan dibuat selepas tindakan pengusahanya yang dipercayai baru setahun mengoperasikan premis tersebut tidak disenangi penduduk sekitar sebelum siasatan dan risikan dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor sejak dua minggu lalu.

Seramai 35 individu ditahan dalam operasi termasuk 12 wanita yang terdiri daripada warga Vietnam, Thailand dan China berusia 20-an hingga 30-an.

Turut ditahan 23 kelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja di premis terbabit termasuk sebahagiannya bertindak sebagai ‘bonzer’ bagi mengawal kemasukan pelanggan mereka.

Pemangku Pengarah JIM Selangor, Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, akses ke pusat karaoke itu tersorok dan pelanggan yang mengetahuinya akan menggunakan lif dikhaskan di bahagian belakang dan terus naik ke tingkat tujuh pusat beli belah itu.

Katanya, kegiatan tersebut terbongkar selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang menyedari operasi GRO itu di pusat beli-belah berkenaan.

“Pusat karaoke premium tersebut dipercayai menawarkan perkhidmatan hiburan pada harga ribuan ringgit namun tidak menerima pelanggan secara sesuka hati. Sementara pelanggan yang mahu perkhidmatan ‘ekstra’ pula dikehendaki membuat bayaran tambahan sekitar RM200 sebelum ditunjukkan ‘katalog’ wanita yang diingini.

“Terdapat banyak bilik dalam premis berkenaan dan salah satunya dijadikan tempat GRO dikumpulkan sementara menunggu kehadiran pelanggan. Premis tersebut turut menyediakan minuman keras kepada pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Khusairi, pekerja GRO yang ditahan itu dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial, malah sudah merentasi sempadan berulang kali bagi menyambung tempoh kemasukan yang dibenarkan.

“Mereka dipercayai dibawa dan diuruskan oleh ejen. Ada antara mereka yang baru beberapa hari berada di negara ini dan bersedia menawarkan perkhidmatan sedemikian di premis berkenaan,” jelasnya.

Jelasnya, tangkapan itu antara 180 lelaki dan 62 wanita warga asing yang ditahan dalam operasi bermula pukul 11 malam hingga pukul 4.30 pagi di lima blok penempatan warga asing di Pandamaran, Klang dan sebuah kilang plastik dan pusat kurier masing-masing di Subang Jaya serta Subang Bestari.

Tangkapan turut melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Laos, Kemboja dan Myanmar berusia 25 hingga 50 tahun.

“Antaran kesalahan dikesan dilakukan adalah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa. Di samping itu, sebanyak lima saman kepada saksi dikeluarkan kepada warganegara dipercayai majikan kepada kesemua tahanan dikeluarkan bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Kata beliau lagi, operasi tersebut dijalankan oleh 130 pegawai dan anggota daripada JIM Selangor, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN

The post Aktiviti persundalan dalam pusat beli-belah sendu di Klang diserbu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved