‘Perkara ini di luar pengetahuan pihak saya’

26 Aug 2024 • 11:59 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Hishamuddin Abdul Karim menegaskan penyertaan atlet terjun wanita yang mewakili negeri itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak berada di luar pengetahuan pihaknya.

“Pada dasarnya, kami tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Malangnya, terdapat penyertaan atlet terjun wanita Kontinjen Sukma Terengganu yang turut menyertai sama dan berada di luar pengetahuan pihak saya,” katanya.

Perkara berkenaan katanya telah dirujuk kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan dimaklumkan ia penyertaan yang dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu dan berada di bawah perbelanjaan sendiri dan hanya memohon kuota Terengganu.

Jelasnya, pihaknya telah memaklumkan pada Persatuan Renang Amatur Terengganu, kerajaan negeri tidak membenarkan sama sekali kerana bercanggah dengan garis panduan yang telah diperkenalkan sekalipun atlet bukan berasal dari Terengganu jika ianya seorang muslim.

“Kerajaan Negeri bagaimanapun mempertimbangkan kebenaran untuk atlet bukan Islam bagi acara ini,” tulis kenyataan beliau di Facebook.

Susulan itu, beliau meminta pihak MSNT menyediakan laporan lengkap mengenai isu kejadian tersebut.

Terdahulu, satu laporan menyatakan penyertaan dua atlet wanita Muslim yang mewakili Terengganu dalam sukan terjun pada Sukma 2024. Isu berkenaan mula menimbulkan pelbagai spekulasi apabila sebelumnya kerajaan negeri telah menegaskan penyertaan atlet gimnastik bagi wanita Muslim dihalang atas alas an pemakaian tidak patuh syariah.