
KUALA TERENGGANU – Penggunaan teknologi baharu bagi mengesan pergerakan gajah lebih awal perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan hidupan liar di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, teknologi berkenaan membolehkan pergerakan gajah dikesan lebih awal bagi membolehkan langkah pencegahan diambil sebelum haiwan liar berkenaan memasuki lebuh raya.
“Penggunaan teknologi baharu haruslah dipertimbangkan supaya kita dapat mengesan pergerakan itu lebih awal.
“Pemasangan pagar elektrik di kawasan dikenal pasti sebagai laluan lintasan gajah juga boleh dipertimbangkan, tetapi perlu mengambil kira jarak lebuh raya yang panjang serta keperluan bekalan elektrik,” katanya selepas merasmikan Hari Renjer Sedunia peringkat Terengganu di sini, hari ini.
Beliau mengulas insiden kemalangan merempuh sekumpulan gajah yang berlaku buat pertama kalinya di LPT2 berhampiran Cheneh, Kemaman pada minggu lalu.
Ahmad Samsuri berkata, konflik antara pengguna lebuh raya dan gajah tersebut perlu dilihat dari sudut keselamatan manusia dan kelangsungan hidup hidupan liar.
Beliau berkata, pelbagai langkah perlu dilaksanakan secara bersama bagi memastikan kejadian sama tidak berulang demi keselamatan pengguna jalan raya dan hidupan liar. – KOSMO! ONLINE
The post Perkenal teknologi kesan pergerakan gajah di LPT 2 appeared first on Kosmo Digital.






