
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu mahu pemantauan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) diperkasa bagi mengelak kejadian hidupan liar khususnya gajah memasuki laluan lebuh raya sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejadian kemalangan membabitkan sekumpulan gajah di LPT2 baru-baru, perlu dilihat bukan sahaja dari sudut keselamatan manusia malah kebajikan dan keselamatan hidupan liar.
Katanya, kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), agensi berkaitan serta pihak pengurusan lebuh raya perlu dipertingkat bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
“Rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan hidupan liar juga wajar diperkemas terutama ketika musim hujan apabila haiwan berkemungkinan bergerak keluar untuk mencari kawasan perlindungan atau sumber makanan.
“Kedua-duanya adalah kehidupan. Gajah ada kehidupan dan manusia pun ada kehidupan. Apa yang berlaku baru-baru ini di LPT2 adalah satu insiden diluar jangka dan kita simpati kepada mereka yang terlibat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia Peringkat Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, penggunaan teknologi bagi mengesan pergerakan hidupan liar lebih awal juga wajar dipertimbang sebagai langkah jangka panjang bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini turut berdepan kejadian gajah memasuki kawasan kampung di Hulu Terengganu, namun situasi berkenaan dapat dikurangkan menerusi kerjasama renjer Perhilitan dan penduduk setempat.
“Kerjasama ini penting supaya kita dapat mengesan pergerakan gajah lebih awal dan mengambil tindakan sebelum ia sampai ke kawasan yang boleh membahayakan manusia,” katanya.
Sebelum ini, sepasang suami isteri cedera selepas kenderaan Toyota Estima dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah di Kilometer 274.6 LPT2, selepas Plaza Tol Cheneh menghala ke Kuala Terengganu, 5 Ogos lalu. – UTUSAN
The post Insiden gajah di LPT2: Pemantauan, teknologi perlu diperkasa appeared first on Utusan Malaysia.






