liza22/09/2026 - 15:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept – Penyedia platform pekerja gig tidak lagi boleh mengambil mudah mengenai pendaftaran dan caruman apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memulakan penguatkuasaan terhadap pematuhan berkenaan mulai 1 Oktober 2026.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Perkeso, Azirruan Arifin berkata penyedia platform perlu memastikan pendaftaran dan caruman pekerja gig dilaksanakan secara teratur seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pekerja Gig.
Setakat ini, sebanyak 1.17 juta pekerja gig telah didaftarkan, dengan penguatkuasaan terhadap penyedia platform akan bermula pada 1 Oktober.
Beliau berkata pada masa sama, Perkeso turut memperhebatkan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal mendaftarkan perniagaan atau pekerja, selain mengabaikan kewajipan membuat caruman.
“Sejak Julai, lebih 2,000 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap majikan atas kesalahan berkenaan, menunjukkan isu ketidakpatuhan caruman terus menjadi perhatian utama Perkeso,” katanya selepas menyertai Ops Kesan 2.0 hari ini.
Lebih 2,000 majikan sudah dikenakan kompaun
Dalam operasi itu, Perkeso menjalankan 159 pemeriksaan di seluruh negara dan mengeluarkan 14 notis atas kesalahan berkaitan setakat 11.30 pagi.
Operasi di Lembah Klang tertumpu di Pasar Seni, Brickfields, Pudu dan Bandar Baru Ampang, dengan kira-kira 300 pegawai daripada 54 pejabat Perkeso seluruh negara terlibat.
Menurut beliau, antara alasan paling lazim diberikan majikan ialah mereka tidak mengetahui bahawa caruman Perkeso adalah wajib.
“Malah, terdapat juga kes pekerja sendiri meminta majikan supaya tidak membuat caruman,” katanya.
25,011 kompaun bernilai RM15 juta sejak 2020
Sejak 2020, sebanyak 25,011 notis kompaun bernilai RM15 juta telah dikeluarkan terhadap majikan yang gagal mendaftarkan perniagaan atau pekerja dengan Perkeso.
Dalam tempoh sama, sebanyak 21,177 kes telah dibawa ke mahkamah atas pelbagai kesalahan.
Di bawah undang-undang sedia ada, majikan yang tidak mematuhi ketetapan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Azirruan menegaskan bahawa caruman Perkeso bukan sekadar kewajipan majikan, sebaliknya penting bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka mendapat perlindungan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, pekerja juga perlu mengetahui hak mereka, termasuk hak mendapatkan perlindungan keselamatan sosial.
Pekerja boleh buat aduan, identiti dirahsiakan
“Perkeso menggesa pekerja yang tidak mempunyai perlindungan supaya membuat aduan kepada pejabat Perkeso yang berhampiran.
“Selain itu, kami akan menjalankan pemeriksaan di lokasi dan memastikan caruman pekerja berkenaan dibuat, manakala identiti pengadu akan dirahsiakan,” katanya.
Pada masa sama, Perkeso turut bekerjasama dengan kedutaan dan agensi berkaitan bagi memastikan pekerja asing turut menerima caruman.- DagangNews.com




