liza22/09/2026 - 14:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept – Country Heights Holdings Bhd gagal menjual tanah komersial seluas 20.60 hektar di Kajang buat kali kedua meskipun harga rizab bagi lelongan terbaharu itu dikurangkan lebih 20% kepada RM55 juta.
Lelongan secara elektronik (e-lelong) yang dijadualkan pada 21 September 2026 dibatalkan selepas tiada pembida tampil untuk membuat tawaran bagi hartanah berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Country Heights berkata pihaknya menerima pengesahan daripada peguam pada 21 September 2026 bahawa lelongan itu dibatalkan berikutan ketiadaan pembida.
Tanah komersial tersebut terletak di Bandar Country Heights, Ulu Langat, Selangor dan dimiliki oleh Country Heights Commercial Development Sdn Bhd, anak syarikat Country Heights.
Harga rizab turun lebih 21%
Harga rizab RM55 juta yang ditetapkan bagi lelongan terbaharu itu adalah 21.26% lebih rendah berbanding RM69.85 juta yang ditetapkan untuk lelongan terdahulu pada Mac 2025.
Lelongan pada Mac 2025 juga gagal menarik sebarang pembeli, menyebabkan tanah berkenaan kekal belum terjual.
ARTIKEL BERKAITAN: Tanah milik Country Heights di Kajang akan dilelong atas perintah mahkamah pada 21 September 2026
Dengan penurunan harga rizab kepada RM55 juta, nilai yang ditetapkan bagi lelongan terbaharu itu adalah RM14.85 juta lebih rendah berbanding harga rizab pada lelongan sebelumnya.
Berkaitan cagaran pinjaman S$11.5 juta
Lelongan kehakiman itu berpunca daripada cagaran hartanah berkenaan bagi menjamin pinjaman berjangka berjumlah S$11.5 juta, bersamaan kira-kira RM35 juta, berdasarkan makluman terdahulu.
Country Heights berkata pembatalan e-lelong itu tidak memberi kesan kewangan serta-merta kepada kumpulan kerana tiada penjualan hartanah berlaku. - DagangNews.com



