IPO GB Bond terlebih langgan 8.22 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 1 Oktober

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO GB Bond terlebih langgan 8.22 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 1 Oktober Image from: IPO GB Bond terlebih langgan 8.22 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 1 Oktober liza22/09/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept – Tawaran awam permulaan (IPO) GB Bond Holdings Berhad terlebih langgan sebanyak 8.22 kali selepas menerima 5,333 permohonan bagi 190.02 juta saham menjelang penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Oktober 2026.

 

Syarikat pengeluar pelekat industri, polimer emulsi dan bahan pengedap itu berkata jumlah permohonan berkenaan adalah bagi 20.615 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia.

 

Bagi bahagian awam Bumiputera, GB Bond menerima 2,241 permohonan untuk 67.44 juta saham, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 5.54 kali.

 

Sementara itu, bahagian awam Malaysia yang lain menerima 3,092 permohonan bagi 122.58 juta saham, menjadikan kadar terlebih langgan sebanyak 10.89 kali.

 

IPO GB Bond merangkumi penerbitan awam sebanyak 64.3 juta saham biasa baharu serta tawaran untuk jualan sebanyak 42.88 juta saham sedia ada pada harga IPO 25 sen sesaham.

 

RM16.08 juta untuk kembangkan kapasiti

Penerbitan saham baharu itu dijangka mengumpulkan hasil kasar kira-kira RM16.08 juta untuk menyokong rancangan pengembangan kapasiti pengeluaran, pengembangan operasi ke Vietnam serta keperluan pertumbuhan perniagaan lain.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan untuk menyewa kilang baharu dan pembelian mesin, manakala RM3.5 juta akan digunakan bagi peluasan operasi ke Vietnam.

 

Sebanyak RM1.18 juta pula diperuntukkan untuk modal kerja, RM900,000 bagi pembelian peralatan untuk formulasi produk dan RM500,000 untuk perbelanjaan pemasaran.

 

Baki RM4.5 juta adalah untuk menampung anggaran kos penyenaraian GB Bond di Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusan GB Bond, Datuk Gooi Ching Koay berkata pihaknya menghargai sambutan daripada pelabur Malaysia serta minat yang diberikan terhadap syarikat berkenaan.

 

Fokus peluasan pengeluaran dan Vietnam

Menurut beliau, hasil IPO itu akan digunakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkukuh keupayaan formulasi produk serta menyokong pengembangan syarikat ke Vietnam.

 

“GB Bond akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan rancangan tersebut sambil mengembangkan pangkalan pelanggan di Malaysia dan pasaran luar negara,” katanya.

 

GB Bond mempunyai sejarah operasi lebih 25 tahun dengan operasi pengeluaran berpusat di Pulau Pinang.

 

Produk pelekat industri syarikat itu kebanyakannya berasaskan air dan boleh disesuaikan mengikut kegunaan serta keperluan formulasi pelanggan.

 

Nilai pasaran RM103.08 juta selepas disenaraikan

Selepas disenaraikan, GB Bond akan mempunyai jumlah modal saham terbitan sebanyak 412.3 juta saham, dengan nilai pasaran kira-kira RM103.08 juta berdasarkan harga IPO 25 sen sesaham.

 

Model pengeluaran syarikat turut disokong pengeluaran polimer emulsi secara dalaman serta pasukan teknikal yang mempunyai keupayaan menghasilkan formulasi mengikut keperluan pelanggan.

 

Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO GB Bond. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved