
LABUAN: Tindakan pelbagai pihak berkuasa memperketat protokol keselamatan susulan insiden kontena baru-baru ini di Kota Kinabalu, yang mengorbankan seorang lelaki dan anak perempuannya, perlu diperluas kepada pengangkutan laut awam.
Aktivis Lau Seng Kiat berkata risiko lebih besar mengancam pengguna feri jenis roll-on roll-off (ro-ro) laluan Labuan-Menumbok yang sering sesak dengan penumpang.
Lau“Jika langkah keselamatan tidak dilaksanakan dengan berkesan, akibatnya boleh menjadi buruk,” katanya.
Lau berkata pihak berkuasa tidak seharusnya menunggu sehingga insiden serius berlaku sebelum mengambil tindakan.
Beliau berkata walaupun dalam keadaan laut tenang, treler yang membawa kontena dan tidak diikat dengan sempurna boleh menggelongsor, menembusi badan kapal serta membahayakan nyawa.
Lau turut berkata penumpang sering dilihat terus berada di dalam kenderaan masing-masing di atas dek feri, sedangkan perbuatan itu dilarang di bawah undang-undang maritim.
Baru-baru ini, Jabatan Laut Labuan mengeluarkan amaran keselamatan penting berhubung lori yang membawa muatan berbahaya di atas feri ro-ro laluan Labuan-Menumbok, dengan menegaskan bahawa kecuaian tidak boleh diterima.
Pengarah Laut Labuan Alimuddin Amiruddin turut mengingatkan pengendali supaya mematuhi garis panduan Kod Maritim Antarabangsa bagi Barangan Berbahaya (IMDG) di bawah Konvensyen Antarabangsa bagi Keselamatan Nyawa di Laut (Solas), termasuk jarak minimum satu meter antara kenderaan yang membawa muatan berbahaya berisiko tinggi dengan kenderaan penumpang biasa.
Tinjauan ringkas mengenai perkara itu mendapati seorang wanita mengadu terkandas di dalam keretanya kerana tidak dapat membuka pintu akibat sebuah treler yang membawa silinder gas petroleum cecair (LPG) diletakkan berdekatan.
Wanita itu berkata dia telah membuat aduan, namun tiada pihak mengambil tindakan.
Seorang lagi pengguna tetap feri berkata treler besar sering dilihat berkongsi ruang dek dengan kenderaan penumpang.
Seorang pengguna lain pula berkata dia pernah melihat sebuah lori tangki besar yang membawa nitrogen cecair, bahan kimia yang sangat berbahaya, di atas feri.
Setiap hari, ratusan penduduk dari pekan-pekan pesisir menggunakan perkhidmatan feri kerana tambangnya berpatutan dan mudah, selain Labuan merupakan bandar utama yang paling dekat dengan mereka.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan perjalanan berasingan bagi pengangkutan muatan berbahaya,” kata Lau.





