
LABUAN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu turut menentukan sama ada protokol keselamatan dilanggar dalam kejadian kontena sepanjang 40 kaki terbalik lalu menghempap sebuah Toyota Avanza yang dinaiki seorang lelaki berusia 53 tahun dan anak perempuannya, 24, pada Ahad.
Aktivis Lau Seng Kiat berkata walaupun JKKP tidak bertanggungjawab terhadap liabiliti pihak ketiga di luar tempat kerja, hasil siasatan jabatan itu dapat membantu agensi lain yang menyiasat kejadian berkenaan mengenal pasti punca insiden.
“Ramai yang mempersoalkan sama ada peralatan yang betul digunakan dan sama ada terdapat petugas pemberi isyarat untuk mengawal lalu lintas yang melalui kawasan berbahaya itu,” katanya.
Beliau berkata hasil siasatan dapat membantu menilai semula sistem sedia ada dan mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang. Katanya, beberapa insiden seumpama itu pernah berlaku di Semenanjung sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
Di Labuan, sebuah kontena sepanjang 20 kaki juga pernah terjatuh dari treler di jalan yang sibuk, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Kerajaan memandang serius kemalangan di tempat kerja dan telah menaikkan hukuman kepada denda RM500,000 serta penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut saksi, treler berkenaan sedang memuatkan kontena dari tepi jalan ketika kejadian berlaku. Pemandu lori itu telah ditahan.
Sementara itu, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah) akan memuktamadkan tindakan sewajarnya pada 30 Okt ini.
Pengerusinya Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran peraturan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
“Ini termasuk mempertimbangkan syor untuk menggantung atau membatalkan lesen berkaitan, tertakluk kepada hasil siasatan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada Selasa.
Phoong berkata LPKP Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan tindakan undang-undang tegas diambil terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab.
Naib Presiden Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Ketua Bahagian Api-Api Sim Fui pula menggesa pemeriksaan keselamatan lori kontena susulan tragedi tersebut.
Beliau berkata kejadian itu menekankan kepentingan keselamatan jalan raya, khususnya membabitkan kenderaan perdagangan berat.
Sim berkata pihak berkuasa perlu menyiasat punca kejadian serta meneliti mekanisme penguncian kontena, keadaan treler dan prosedur operasi pemandu.
Beliau menjelaskan bahawa kontena lazimnya dipasang pada casis treler menggunakan mekanisme twist-lock yang direka untuk menghalangnya daripada berganjak atau tercabut ketika dalam perjalanan.
Sim berkata sebarang tanggapan dalam kalangan pemandu atau pengusaha industri bahawa penguncian kontena boleh meningkatkan risiko treler terbalik perlu diteliti bagi menentukan sama ada perkara itu menyumbang kepada amalan tidak selamat.
“Penguncian kontena dan pencegahan kenderaan daripada terbalik ialah dua aspek keselamatan yang berbeza tetapi sama penting.
“Risiko kenderaan terbalik tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan kunci keselamatan kontena tidak dikunci,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kejadian kenderaan berat terbalik boleh berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kelajuan berlebihan, pergerakan ketika membelok, pusat graviti kenderaan dan agihan muatan yang tidak seimbang, yang perlu dinilai oleh pakar bertauliah serta pihak berkuasa berkaitan.
Sim menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pihak berkuasa berkaitan memperketat pemeriksaan terhadap mekanisme twist-lock, casis treler dan peranti pengunci lain.
Sambil mengakui kepentingan logistik pelabuhan dan pengangkutan kargo kepada pembangunan ekonomi Sabah, beliau menegaskan kecekapan operasi tidak seharusnya mengatasi keselamatan awam.
“Jadual penghantaran, kemudahan operasi atau pertimbangan komersial tidak boleh mengatasi kepentingan keselamatan nyawa manusia,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa mempercepat siasatan, mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan mendedahkan hasil siasatan kepada umum, berserta langkah pembetulan dan pencegahan yang diperlukan.





