Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang telah mula beroperasi semula pada 1 Julai 2025 kini dilaporkan telah rosak sekali lagi, hanya beberapa hari selepas ia kembali beroperasi setelah tergendala selama beberapa tahun untuk mendapatkan gerabak kereta api baru.
Terkini, selepas beroperasi untuk hanya 2-3 hari, ia telah dilaporkan bahawa salah satu gerabak kereta api Aerotrain telah rosak sekali lagi.
Perkara ini mendapat perhatian kami apabila ia dipos pada laman Facebook Places and Food, yang mengatakan bahawa kereta api tersebut telah tersidai di platform terminal antarabangsa.
Sebuah bebenang di Reddit juga memperlihatkan beberapa gambar yang sama, dan juga terdapat komen yang mengatakan bahawa kerosakan ini berlaku bukan kerana kereta api tersebut bermasalah, tetapi kerana tingkah-laku seorang penumpang yang bertindak untuk menahan pintu Aerotrain tersebut daripada ditutup secara biasa.
New KLIA Aerotrain Breaks Down Just 1 Day After Relaunch, Disrupting KLIA T1 Transfers • RailTravel Station
byu/Anxious-Debate5033 inmalaysia
Perbuatan ini telah menyebabkan keretapi tersebut tidak boleh beroperasi seperti biasa, dan tersadai di platform terminal antarabangsa. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi samada kereta api tersebut sudah mula beroperasi kembali ataupun tidak.
Pihak Malaysia Airport Holdings Berhad juga belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini, tetapi kami jangka mereka mahu melihat samada perkhidmatan Aerotrain tersebut boleh beroperasi kembali, atau kerosakan yang dilakukan perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum mengatakan apa-apa.
Kemaskini: Pihak MAHB telah mengeluarkan kenyataan berkenaan insiden Aerotrain yang tergendala tersebut, dan mengatakan bahawa kereta api tersebut tidak rosak, dan sebaliknya telah dihentikan pada 11 pagi ini kerana air yang telah bertakung di bahagian terowong diantara terminal utama dan bangunan satelit penerbangan antarabangsa.
Air takungan tersebut sepatutnya dipam keluar, tetapi salah satu pam yang melakukan tugas ini telah rosak akibat hujan yang lebat, dan ini menyebabkan pihak lapangan terbang untuk menghentikan perkhidmatan Aerotrain untuk sementara waktu sementara isu tersebut diperbaiki.
Perkhidmatan bas penghantaran telah diaktifkan, dan para penumpang penerbangan dihantar ke pintu penerbangan mereka tanpa sebarang isu.





