
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam supaya membuat perbelanjaan mengikut peruntukan belanjawan yang ditetapkan.
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengingatkan anggota perkhidmatan awam khususnya di kementerian agar memastikan perbelanjaan dibuat sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam belanjawan.
“Dalam perkhidmatan awam, kena berbelanja sebagaimana yang dibajetkan (diperuntukkan dalam belanjawan),” katanya kepada media selepas majlis penutup Seminar AI Sektor Awam 2026 dan penyampaian Anugerah Public Sector AI Nexus Challenge 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung peruntukan projek jalan luar bandar.
Semalam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata tidak ada sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan keseluruhan peruntukan bagi projek berkenaan telah disalurkan.
Beliau berkata kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan.
Isu itu timbul susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai masalah yang dihadapi kontraktor susulan kelewatan bayaran bagi projek di bawah kementeriannya.
Ahmad Zahid berkata masalah yang berlaku itu memberi kesan kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan, selain menegaskan keperluan menyelesaikan isu berkenaan supaya masalah bayaran tidak berlarutan.






