KKDW nafi berbelanja melebihi peruntukan

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 6:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KKDW nafi berbelanja melebihi peruntukan

PETALING JAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan dakwaan kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan diluluskan kerana setiap perbelanjaan kerajaan tertakluk kepada tatacara dan sistem kewangan ditetapkan.

Setiausaha Akhbar Menterinya, Fadzmel Fadzil menegaskan kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung peruntukan yang disalurkan kepada KKDW adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar.

Katanya, kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan kerana penggunaan dana kerajaan dikawal melalui prosedur kewangan yang ditetapkan.

“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada MOF dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan yang menggunakan Sistem Perakaunan Pengurusan Kewangan Kerajaan Bersepadu (iGFMAS). Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.

“Sekiranya benar berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara tersebut tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan. Justeru, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzmel berkata, kenyataan MOF sebelum ini juga dilihat gagal menyertakan data bagi tahun 2019 hingga 2021 yang penting untuk menilai kedudukan keseluruhan komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.

Katanya, pelaksanaan sebahagian projek terjejas akibat pandemik Covid-19, namun Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu telah dikeluarkan dan tuntutan pembayaran kontraktor kemudiannya dibawa ke tahun berikutnya.

“Ini bermakna apabila kerja telah dilaksanakan oleh kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak.

“Projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan telah hampir digunakan sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, KKDW mengambil langkah kawalan awal termasuk menyusun semula peruntukan dalaman, mengehadkan komitmen baharu, membatalkan tender tertentu serta mengehadkan projek pada peringkat prapelaksanaan.

Katanya, permohonan rasmi turut dikemukakan kepada MOF pada suku kedua tahun ini bagi menampung keperluan pembayaran tertangguh untuk projek yang sedang berjalan.

“RM300 juta tersebut bukan peruntukan tambahan, sebaliknya merupakan peruntukan yang sewajarnya disalurkan dan telah diberikan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada petang 1 September 2026. Peruntukan ini bagi menampung komitmen dan tunggakan pembayaran yang dibawa daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Kelulusan dan penyaluran RM300 juta berkenaan amat dihargai. Namun, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran yang sedang dihadapi,” katanya.

Tambah Fadzmel, peruntukan itu tidak dibayar secara langsung oleh KKDW kepada kontraktor pelaksana, sebaliknya disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) atau agensi yang menyelia pelaksanaan projek.

“Perkara ini tidak seharusnya menjadi pertikaian antara kementerian. KKDW akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mencari penyelesaian menyeluruh supaya segala komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. – UTUSAN

The post KKDW nafi berbelanja melebihi peruntukan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved