Isu berkaitan godaman data syarikat dan kerajaan dilihat semakin membelenggu semua pihak secara global, khususnya syarikat-syarikat berskala kecil dan sederhana yang mungkin tidak mempunyai pasukan sekuriti digital mereka sendiri. Menurut beberapa laporan, sebanyak 1 trilion serangan siber dilaporkan setiap hari secara global, dan ini telah memaksa banyak syarikat pada skala kecil dan sederhana untuk mula mencari solusi
Arctic Wolf, syarikat perkhidmatan sekuriti digital korporat baru-baru ini mengumumkan bahawa perkhidmatan sekuriti digital mereka sudah mula ditawarkan di Malaysia melalui kerjasama bersama dua syarikat tempatan, pengedar kelengkapan dan perkhidmatan elektronik Ingram Micro dan juga pengedar perkhidmatan sekuriti Anon Security.
Arctic Wolf menawarkan perkhidmatan sekuriti digital secara keseluruhan. Proses ini bermula dengan perbincangan diantara syarikat, dimana pihak pengedar Arctic Wolf akan mengambil kira keperluan syarikat dan juga proses-proses perniagaan sebelum menawarkan pelan dan perkhidmatan sekuriti yang sesuai untuk syarikat tersebut.
Mereka juga menawarkan kursus keselamatan digital untuk para pekerja syarikat untuk mengurangkan risiko mereka terkena serangan social engineering seperti tidak membuka pautan dari emel yang tidak sepatutnya, dan lain-lain.
Perkhidmatan sekuriti Arctic Wolf merangkumi pelbagai aspek, dari keselamatan mesin pelayan, rangkaian syarikat dan juga peranti-peranti komputer yang digunakan, dan sesuai untuk syarikat-syarikat dengan jumlah pekerja kira-kira 100-500 pekerja.
Selain daripada membekalkan perkhidmatan untuk keselamatan digital syarikat, Arctic Wolf juga dilihat bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk merakam dan melaporkan betapa seriusnya isu sekuriti digital untuk syarikat-syarikat pada skala global.

Bersama-sama dengan pelancaran rasmi perkhidmatan mereka di Malaysia, Arctic Wolf juga telah memperkenalkan laporan mengenai isu sekuriti digital di sekitar rantau Asia Pasifik melalui laporan Threats & Predictions Report 2026 mereka.
Menurut laporan tersebut, syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana merupakan mangsa kepada 71 peratus daripada serangan siber di Asia Pasifik, manakala selebihnya (29 peratus) adalah syarikat-syarikat korporat yang lebih besar.
Kumpulan-kumpulan penggodam seperti Qilin juga dilihat mempunyai kebolehan untuk mengekalkan serangan berterusan, sehingga berbulan-bulan lamanya, dan ia adalah sukar untuk syarikat-syarikat lebih kecil untuk mengelak data mereka diserang.
Menurut laporan tersebut juga, Malaysia telah memperlihatkan peningkatan 33 peratus untuk serangan menggunakan perisian hasad dan peningkatan 38 peratus untuk serangan dengan perisian tebusan. Butiran syarikat yang terdedah seperti alamat emel, nama dan kata laluan pekerja yang tidak selamat dilihat menjadi cara-cara bagaimana penggodam boleh mengakses sistem-sistem dalaman.
Antara sektor-sektor tempatan yang sering diserang penggodam pula termasuklah industri pengeluaran, logistik, pembangunan, IT, kesihatan dan juga pendidikan.
Kumpulan penggodam juga kini dilihat menggunakan perisian hasad bukan untuk mengunci data syarikat, tetapi untuk mencurinya. Ini adalah kerana kebarangkalian syarikat-syarikat akan membayar wang tebusan untuk data mereka kini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan sebelum ini.

