amree13/10/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt – Pengaktifan semula perkhidmatan Lembaga Tabung Haji (TH) melalui bank rakan strategik masih menunggu pengesahan akhir daripada pihak bank berkenaan, meskipun sistem TH telah bersedia sepenuhnya untuk menyambung semula operasi.
TH dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengesahkan kesiapsiagaan sistem, termasuk bagi penyambungan semula perkhidmatan melalui bank rakan strategik, dan perkara itu turut dimaklumkan kepada institusi perbankan terbabit.
Bagaimanapun ujarnya, pengaktifan semula perkhidmatan tersebut hanya dapat dilaksanakan selepas pengesahan akhir diterima daripada bank rakan strategik berkenaan.
"Kesediaan untuk menyambung semula perkhidmatan itu dicapai hasil kerjasama dengan pakar teknologi maklumat (IT) bagi memperkukuh sistem kawalan keselamatan," katanya.
Artikel berkaitan: Perkhidmatan Tabung Haji kembali pulih selepas serangan siber, simpanan pendeposit dijamin selamat
TH berkata, sistem dan perkhidmatan utamanya sudah kembali beroperasi sejak 11 Oktober 2026, selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan serta pelaksanaan langkah pemulihan sistem.
Dalam pada itu, TH memaklumkan masih terdapat bank rakan strategik yang meminta penjelasan lanjut, meskipun maklumat berkenaan sudah diberikan.
Bagaimanapun, TH menegaskan pihaknya bersedia memberikan penjelasan penuh dan berpandangan perkara itu tidak seharusnya berlarutan demi kepentingan pendeposit. - DagangNews.com




