amree13/10/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt – Lembaga Tabung Haji (TH) menunggu penyambungan semula perkhidmatan melalui bank rakan strategik selepas mengesahkan sistemnya sudah bersedia sepenuhnya, namun pengaktifan masih tertakluk pengesahan akhir daripada bank berkenaan.
Institusi tabungan tersebut dalam kenyataan menerusi akaun media sosial rasminya memaklumkan, pihaknya telah bersedia untuk menyambung semula perkhidmatan berkenaan susulan notis yang dikeluarkan sehari sebelumnya berhubung isu gangguan.
Bagaimanapun jelasnya, proses pengaktifan semula itu masih belum lagi dapat dilaksanakan secara sepenuhnya kerana TH perlu menunggu pula pengesahan akhir daripada bank rakan strategik terbabit.
"Untuk makluman, masih terdapat bank rakan strategik yang meminta penjelasan lebih lanjut berhubung perkara itu, meskipun perkara berkenaan sudah diberikan oleh pihaknya sendiri," kata TH.
Setakat ini ujarnya, TH menegaskan bahawa kesediaan untuk menyambung semula perkhidmatan itu telah dimaklumkan kepada bank rakan strategik berkenaan.
Persediaan tersebut dibuat susulan kerjasama dengan pakar teknologi maklumat (IT) bagi memperkukuh sistem dan kawalan keselamatan.
Artikel berkaitan: Perkhidmatan Tabung Haji kembali pulih selepas serangan siber, simpanan pendeposit dijamin selamat
Dalam perkembangan berkaitan, TH menerusi kenyataan itu sekali lagi memaklumkan yang sistem serta perkhidmatan utamanya sudah kembali beroperasi sejak 11 Oktober 2026.
"Pemulihan tersebut telah dilakukan selepas pemeriksaan keselamatan dibaut secara menyeluruh, pengukuhan kawalan serta pelaksanaan langkah pemulihan sistem," tegasnya.
Justeru, TH ujarnya, turut menyatakan kesediaannya untuk memberikan penjelasan penuh kepada bank rakan strategik bagi menyelesaikan perkara yang masih berbangkit.
Menurut TH lagi, isu berkenaan tidak seharusnya berpanjangan, terutama demi menjaga kepentingan pendeposit sendiri untuk melaksanakan pelbagai urusan perkhidmatan.
Sehubungan itu, penyambungan semula perkhidmatan melalui bank rakan strategik kini bergantung pada pengesahan akhir bank berkenaan sebelum ia dapat dilaksanakan. - DagangNews.com





