Perkukuh pembangunan ekonomi

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 7:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perkukuh pembangunan ekonomi

PEKAN: Seminar Wakaf Irsod 2026 mencatatkan serahan sumbangan wakaf berjumlah RM3.1 juta daripada empat penyumbang sempena majlis perasmiannya yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di AnCasa Royale Pekan di sini semalam.

Serahan melibatkan dua sumbangan wakaf irsod dan dua sumbangan Tabung Wakaf Masjid, mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menggembleng sumber wakaf bagi menyokong pembangunan sosial, pendidikan, kesihatan dan ekonomi ummah secara berterusan.

Bertemakan ‘Masa Depan Pembangunan Hartanah Wakaf: Daripada Aset kepada Impak’, seminar tiga hari dari 1 hingga 3 November itu merupakan anjuran bersama UDA Holdings Berhad (UDA) dan Wakaf Pahang.

Seminar kali kedua di Malaysia, yang julung kali diadakan di negeri Pahang ini, menghimpunkan 120 peserta yang terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), agensi kerajaan, institusi kewangan, penggiat industri hartanah, ahli akademik dan institusi wakaf dari seluruh negara.

Ia memfokuskan wakaf irsod, iaitu wakaf daripada raja, kerajaan atau pemerintah, lazimnya melalui penyerahan tanah oleh pihak berkuasa bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah atau peruntukan kewangan kerajaan untuk membangunkan tanah wakaf milik MAIN.

Pengerusi UDA Holdings Berhad, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, UDA komited memperkasa pembangunan hartanah wakaf melalui kerjasama strategik bersama institusi agama negeri dan pihak berkepentingan.

“Pengalaman UDA dalam pembangunan hartanah wakaf merangkumi empat projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM313 juta di Pulau Pinang dan Kedah. Pembangunan ini turut memberikan pulangan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAINK) dalam bentuk hartanah serta kewangan bagi menyokong kebajikan dan kegiatan ekonomi masyarakat.

“Di Pulau Pinang, pulangan kepada MAINPP melalui Wakaf Seetee Aisah 1 merangkumi 27 unit kedai pejabat tiga tingkat, manakala Wakaf Seetee Aisah 2 melibatkan dewan bankuet, rumah asnaf, 12 unit pangsapuri, kedai pejabat, surau serta menara pejabat tujuh tingkat. Pembangunan Wakaf Mohamed Hashim pula memberikan pulangan berupa sembilan unit kediaman dan 16 unit kedai pejabat.

“Di Kedah, pembangunan Taman Sultan Sallehuddin di tanah Wakaf Teluk Chengai memberikan pulangan kepada MAINK berupa enam unit kedai pejabat serta RM12.2 juta. Pulangan ini memperlihatkan bagaimana pembangunan hartanah wakaf dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi dan sosial yang berterusan kepada ummah,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Mohd. Annuar berkata, melalui Strategi Lautan Biru, UDA menggabungkan kepakaran pembangunan dengan peranan MAIN dalam pemilikan dan tadbir urus aset wakaf bagi menjana manfaat ekonomi serta sosial yang mampan kepada ummah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat & Wakaf Pahang, Dr. Mohd. Azmi Othman berkata, seminar ini menjadi pemangkin kepada tindakan nyata melalui penggemblengan aset kerajaan, komitmen institusi dan penyertaan sektor korporat bagi menjana manfaat wakaf yang berkekalan.

Katanya, Wakaf Pahang kini merekodkan 575 unit hartanah wakaf dengan anggaran nilai RM73.3 juta dan sebanyak 17 projek wakaf bernilai RM8.7 juta turut disempurnakan sejak integrasi pengurusan wakaf bersama PKZ Pahang pada 2022.

“Sebanyak 47 projek wakaf bernilai RM86.8 juta pula berada dalam portfolio pembangunan, dengan dana terkumpul RM18.4 juta dan baki keperluan pembiayaan RM68.4 juta.

“Penyertaan masyarakat turut memperlihatkan perkembangan memberangsangkan apabila bilangan pewakaf mencapai 11,796 orang, termasuk 4,601 pewakaf baharu sepanjang 2026. Kutipan wakaf semasa pula berjumlah RM5.9 juta, meningkat 39 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, tiga keutamaan strategik yang digariskan ialah pengenalpastian aset kerajaan berpotensi, pembangunan projek wakaf berimpak tinggi serta pemerkasaan kerjasama antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan Islam dan sektor korporat. – UTUSAN

The post Perkukuh pembangunan ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved