PEKAN - Seminar Wakaf Irsod 2026 yang menghimpunkan lebih 120 peserta terdiri daripada wakil pelbagai agensi berkepentingan mencerminkan usaha pelbagai pihak menggembleng sumber wakaf secara berterusan di negara ini.
Seminar bertemakan ‘Masa Depan Pembangunan Hartanah Wakaf: Daripada Aset kepada Impak’, anjuran UDA Holding Berhad (UDA) dengan kerjasama Wakaf Pahang itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kali kedua dianjurkan di negara ini dan julung kali diadakan di Pahang, seminar tersebut disertai peserta terdiri dari Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), agensi kerajaan, institusi kewangan, penggiat industri hartanah, ahli akademik dan institusi wakaf dari seluruh negara.
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, seminar tersebut fokus kepada wakaf irsod, iaitu wakaf daripada raja, kerajaan atau pemerintah yang lazimnya bagi tujuan kebajikan dan pembangunan ummah atau peruntukan kewangan kerajaan untuk membangunkan tanah wakaf milik MAIN.
Menurutnya, UDA komited memperkasa pembangunan hartanah wakaf melalui kerjasama strategik bersama institusi agama negeri dan pihak berkepentingan berkaitan.
**media[3697444]**
“Pengalaman UDA dalam pembangunan hartanah wakaf merangkumi empat projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM313 juta di Pulau Pinang dan Kedah.
“Melalui Strategi Lautan Biru, UDA menggabungkan kepakaran pembangunan dengan peranan MAIN dalam pemilikan dan tadbir urus aset wakaf bagi menjana manfaat ekonomi serta sosial yang mampan kepada ummah," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Wakaf Irsod Tahun 2026 di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Tengku Panglima Raja Brigadier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Haji Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat (PKZ) dan Wakaf Pahang, Dr Mohd Azmi Othman.
Majlis itu turut menyaksikan sumbangan wakaf RM3.1 juta diterima daripada empat penyumbang melibatkan dua sumbangan wakaf irsod dan dua sumbangan tabung wakaf masjid.
Sementara itu, Mohd Azmi dalam ucapannya berkata, penganjuran seminar tersebut merupakan manifestasi titah Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar potensi wakaf irsod dimanfaatkan sebagai instrumen strategik pembangunan ekonomi Islam.
Menurutnya, seminar itu bukan sekadar medan wacana ilmiah, bahkan menjadi pemangkin kepada tindakan nyata melalui penggemblengan aset kerajaan, komitmen institusi dan penyertaan sektor korporat bagi menjana manfaat wakaf yang berkekalan.
"Antara fokus utama seminar kali ini status dan pentadbiran tanah wakaf; keperluan syariah serta perundangan; model pembangunan dan pembiayaan serta struktur kerjasama dan tadbir urus.
"Perbincangan sepanjang seminar dijangka menyumbang kepada pembentukan pendekatan pembangunan hartanah wakaf yang lebih tersusun di negara ini," katanya.
Jelas beliau, Wakaf Pahang kini merekodkan 575 unit hartanah wakaf dianggarkan bernilai RM73.3 juta di mana 17 projek wakaf bernilai RM8.7 juta telah disempurnakan sejak integrasi pengurusan wakaf bersama PKZ Pahang pada 2022.
"Sebanyak 47 projek wakaf bernilai RM86.8 juta pula berada dalam portfolio pembangunan, dengan dana terkumpul RM18.4 juta dan baki keperluan pembiayaan RM68.4 juta," katanya.
Tambah beliau, bilangan pewakaf mencapai 11,796 orang termasuk 4,601 pewakaf baharu tahun ini dengan kutipan wakaf semasa RM5.9 juta.



