Perkukuh risikan digital banteras dadah sintetik di Sarawak

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 1:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Perkukuh risikan digital banteras dadah sintetik di Sarawak

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkukuh risikan digital, kawalan sempadan dan kerjasama antara agensi penguat kuasa bagi membanteras pengedaran dadah sintetik di Sarawak susulan perubahan modus operandi sindiket yang semakin kompleks.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu turut melibatkan pemantauan platform dalam talian, media sosial, perkhidmatan kurier dan e-hailing yang dikenal pasti antara saluran dieksploitasi sindiket untuk mengedar dadah termasuk ke kawasan pedalaman negeri itu.

Beliau berkata, kedudukan geografi Sarawak yang luas dengan jaringan sempadan darat, laut dan udara meningkatkan cabaran penguatkuasaan, khususnya dalam membendung kemasukan serta penyeludupan dadah.

“KDN mengenal pasti penyebaran dadah sintetik dipengaruhi beberapa faktor, antaranya kos pemprosesan yang lebih rendah, kemudahan mendapatkan bahan kimia prekursor dan keupayaan sindiket mengeksploitasi platform dalam talian.

“Pada masa sama, kita memperkukuh keupayaan forensik dan risikan teknikal bagi menangani kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) termasuk perubahan trend bahan sintetik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai punca penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa, khususnya dadah sintetik di Sarawak selain keberkesanan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kaedah baharu bagi membendung gejala itu.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, sebanyak 9,602 kes dengan 9,924 tangkapan direkodkan di Sarawak bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini berbanding 7,488 kes dengan 7,790 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas.

Jumlah tangkapan itu meningkat sebanyak 2,134 atau 27.4 peratus manakala nilai keseluruhan dadah yang dirampas bagi tempoh tersebut berjumlah RM50.1 juta berbanding RM58.78 juta sepanjang 2025.
“Bagi keseluruhan 2025, sebanyak 12,716 kes dengan 13,187 tangkapan direkodkan
berbanding 9,992 kes dengan 10,378 tangkapan pada 2024 meningkat 27 peratus dari segi jumlah tangkapan,” katanya.

Dalam masa sama, Shamsul Anuar berkata, JSJN PDRM berjaya menumpaskan 270 sindiket dadah di seluruh negara sepanjang 2025 dan akan terus mempertingkatkan usaha memutuskan sumber kewangan sindiket serta memperkukuh kerjasama antara agensi. – Bernama

The post Perkukuh risikan digital banteras dadah sintetik di Sarawak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved