
KUALA LUMPUR – Malaysia dan China bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang khusus bagi membanteras ancaman jenayah rentas sempadan, pengedaran dadah serta penipuan siber.
Persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan dua hala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, di Beijing, China.
Katanya, antara hasil penting pertemuan ini ialah persetujuan untuk mempertingkat perkongsian risikan, memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan serta memperluas tindakan bersama dalam membanteras rangkaian jenayah yang beroperasi merentasi sempadan negara.
“Dalam pertemuan ini juga, Malaysia mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja Bersama (Joint Working Group) antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa penguatkuasaan dadah China,” kata Ahmad Zahid di akaun Facebook rasmi beliau hari ini.
Menurutnya, kerjasama penguatkuasaan antara kedua-dua negara bukan perkara baharu, sebaliknya terbukti sudah membuahkan hasil nyata.
“Pada Ogos 2025, perkongsian risikan antara PDRM dengan Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China (NNCC) sudah membantu menjayakan rampasan lebih 1.03 tan fentanyl citrate menerusi Operasi Black Ash dan Blackwood.
“Kejayaan ini membuktikan apabila risikan dikongsi, tindakan diselaraskan dan agensi penguatkuasaan bergerak bersama, rangkaian jenayah antarabangsa dapat ditumpaskan dengan lebih berkesan,” katanya.
Dalam aspek penipuan telekomunikasi dan siber, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pihak bersetuju mempererat kerjasama operasi merangkumi perkongsian maklumat, penyelarasan siasatan serta peningkatan kepakaran teknikal bagi menangani kegiatan sindiket yang semakin licik dan terancang.
“Penyertaan Malaysia dalam International Alliance Combating Telecom and Cyber Fraud turut membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan bersama China dan negara lain.
“Kerjasama dalam keselamatan siber, pembangunan kepakaran dan latihan teknikal akan terus diteroka bagi memastikan keupayaan penguatkuasaan sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi serta modus operandi jenayah terkini.
“Sindiket jenayah hari ini bergerak pantas, menggunakan teknologi baharu dan mengeksploitasi kelemahan sistem merentasi sempadan. Justeru, kerjasama antarabangsa mesti diperkukuh bagi mendepani ancaman ini, tanpa sesekali mengkompromikan kedaulatan negara.
“Bagi Malaysia, keutamaan kita jelas iaitu melindungi keselamatan rakyat, membanteras sindiket jenayah serta memastikan kepentingan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Bernama
The post Malaysia-China perangi jenayah rentas sempadan appeared first on Kosmo Online.





